BANGKOK – Ratu tukul besi negara, Grace Wong melengkapkan hatrik pingat emas di Sukan SEA dengan gaya selepas selepas kemenangannya di Thailand itu berjaya meleburkan rekod kebangsaan dan temasya secara serentak, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Nasional Suphachalasai itu, atlet kelahiran Sarawak itu tidak menunggu lama untuk mempamerkan taring sebenar apabila balingan keduanya sejauh 63.83 meter (m) sudah cukup untuk memadam rekod kebangsaan miliknya 63.53m yang dilakar pada Terbuka Malaysia, Ogos lalu.
Atlet berusia 25 tahun itu terus ‘mengganas’ apabila memecahkan rekod peribadinya sekali lagi menerusi balingan ketiga (65.09m), sebelum memuktamadkan kemenangan mutlak menerusi balingan keempat sejauh 65.41m.
Catatan luar biasa itu bukan sahaja memperbaharui rekod kebangsaan, malah memadam rekod Sukan SEA (61.87m) yang turut dipegangnya sewaktu edisi Kemboja 2023
Kejayaan di Stadium Nasional Suphachalasai itu merupakan ‘hatrik emas’ buat Grace dan emas keempatnya apabila meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Vietnam (2022) dan Kemboja (2023).
Sumber – KOSMO! ONLINE





