JAKARTA – Jerebu tebal akibat kebakaran hutan di beberapa kawasan Indonesia bukan sahaja menjejaskan kualiti udara di negara itu, malah turut merentasi Malaysia.
Dalam perkembangan terbaharu , polis Indonesia menahan 72 individu yang disyaki terlibat dalam mencetuskan kebakaran hutan dan tanah gambut
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional ( BNPB), kebakaran dipercayai berlaku susulan corak El Nino yang semakin kuat serta musim kering yang berpanjangan.
Pengarah Jenayah Khas Badan Reserse Kriminal (Bareskrim) Polri, Mohammad Irhamni, berkata pemilik ladang dan petani tradisional antara pihak yang sering menggunakan kaedah pembakaran untuk membersihkan kawasan bagi tujuan pertanian.
Katanya, 72 suspek itu disiasat berhubung 89 kes kebakaran hutan dan tanah di lima wilayah di Pulau Borneo dan empat wilayah di Sumatera.
“Kami tidak akan berhenti pada pelaku di lapangan. Kami akan menentukan siapa yang mendapat manfaat daripada kegiatan ini dan siapa yang sebenarnya berada di belakangnya,” katanya pada sidang media di Jakarta, pada Ahad.
Irhamni berkata, kebanyakan suspek disyaki sengaja membakar tanah bagi membuka kawasan ladang dengan kos lebih rendah.
Penyiasat kini meneliti rekod kewangan bagi menentukan sama ada syarikat membiayai atau mengarahkan kerja pembersihan tanah berkenaan.
Suspek berdepan hukuman denda tinggi hingga penjara maksimum 15 tahun.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ketika mengunjungi Kalimantan Tengah pada Sabtu turut menyaksikan lebih 7,600 hektar kawasan terbakar.
Beliau mengarahkan kerajaan menyediakan sumber diperlukan untuk menangani kebakaran, termasuk helikopter dan pam air.
Prabowo turut memberi amaran tindakan akan diambil terhadap syarikat yang didapati terbabit dalam kebakaran.
“Saya berharap kita dapat mengawal keadaan ini dengan segera. Kita pernah berdepan kebakaran hutan dan tanah yang lebih teruk sebelum ini dan berjaya mengatasinya,” katanya.
Ketua Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi, berkata sekurang-kurangnya empat syarikat di Kalimantan Barat turut disiasat kerana didakwa menggunakan api untuk membersihkan tanah.
Katanya, syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan permit operasi jika terbukti sengaja menyebabkan kebakaran.
Sumber – Berita Harian





