Baitulmaqdis: Rakyat Palestin akan mentadbir Semenanjung Gaza selepas perang dengan Israel berakhir, kata Menteri Pertahanan Israel, Yoava Gallant pada Isnin.
“Rakyat Palestin tinggal di Gaza dan oleh itu, rakyat Palestin akan mentadbirnya pada masa hadapan.
“Kerajaan Gaza masa depan mesti berkembang dari Semenanjung Gaza,” kata Gallant pada sidang akhbar.
Beliau berkata, selepas perang berakhir, tidak akan ada ancaman ketenteraan dari Gaza.
“Hamas tidak akan dapat memerintah dan berfungsi sebagai pasukan tentera di Semenanjung Gaza,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan masa depan akan menjadi kerajaan awam alternatif tetapi menegaskan bahawa tentera Israel akan mempunyai kebebasan operasi dengan cara yang bertujuan untuk melindungi rakyat Israel.
Hamas, gerakan Islam yang memerintah Semenanjung Gaza sejak 2007, melakukan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh kira-kira 1,140 orang.
Israel kemudian melancarkan operasi ketenteraan di Gaza yang sudah mengorbankan 24,000 orang. Kebanyakan mangsa terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.
Sumber: Harian Metro