Thursday, October 8, 2026
HomeHIBURANTuju Sasar Jadi ‘Tuan Director’ Menjelang 2029, Mohon Doa Peminat

Tuju Sasar Jadi ‘Tuan Director’ Menjelang 2029, Mohon Doa Peminat

SERDANG – Penyanyi rap, Tuju memohon doa peminat agar impiannya untuk bergelar penulis skrip dan pengarah filem dapat direalisasikan dalam tempoh tiga tahun lagi, iaitu pada 2029.

Tuju berkata, dia sedang menyiapkan skrip filem sulung selain menyusun perancangan bagi merealisasikan impian yang sudah lama disimpan.

“Insya-Allah, saya akan mengarah filem dan sasaran saya adalah pada 2029. Sekarang saya masih menulis skrip dan menyusun perancangan untuk merealisasikan impian menjadi pengarah filem,” katanya.

Menurut Tuju, minat menulis skrip tercetus daripada latar belakang sebagai penulis lirik yang sentiasa mencari cabaran baharu dalam berkarya.

“Saya mulanya penulis lirik. Jadi, saya terfikir apa lagi yang boleh saya tulis? Saya suka menulis dan mula cuba menulis skrip.

“Saya melalui banyak perjalanan dalam hidup, bermula dari Kota Kinabalu sebelum berhijrah. Jadi, banyak perkara yang ingin saya ceritakan. Mungkin dari situlah minat itu bermula,” katanya.

Tuju berkata, dia mula berbincang dengan isterinya, Loca B, mengenai hasrat menghasilkan skrip filem kira-kira dua tahun lalu, sebelum mula menulis secara serius dua bulan lalu.

Tuju berkongsi titik perubahan berlaku tahun ini apabila dia diberi peluang membentangkan idea kepada seorang pengarah berpengalaman dan mendapat respons positif untuk meneruskan projek berkenaan.

“Alhamdulillah, mereka suka dan ajak saya teruskan. Jadi, itu menjadi titik permulaan untuk saya berani menulis dan mengarah,” katanya.

Mengenai filem yang bakal diarahkan, Tuju masih belum bersedia mendedahkan keseluruhan jalan cerita, namun, memberi bayangan karya itu bukan filem aksi, sebaliknya berkisar mengenai kehidupan manusia.

“Mereka yang menonton filem saya akan melihat diri masing-masing dalam filem itu. Itulah gaya filem saya. Ia mungkin boleh memberikan satu pembelajaran kepada penonton,” katanya.

Dalam usaha menimba ilmu, Tuju bertemu beberapa pengarah berpengalaman termasuk Syafiq Yusof, David Teo, Pierre Andre dan Aedy Ashraf.

“Saya memang ada rancangan untuk belajar daripada mereka, tetapi untuk bertemu dan duduk bersama orang seperti ini sangat sukar kerana masa mereka sangat terhad.

“Namun, jika diberi peluang, saya tidak akan lepaskan untuk belajar,” katanya.

Tuju berkata, dia banyak menjadikan karya terdahulu sebagai rujukan dalam membentuk pendekatan dalam dunia pengarahan termasuk filem Blood Brothers dan Tarung: Unforgiven, selain karya Hollywood.

“Saya tidak merujuk mana-mana pengarah secara khusus, tetapi saya melihat karya dan hasil akhirnya untuk memperbaiki apa yang boleh saya lakukan pada masa depan,” katanya.

Ditanya mengenai keberaniannya memilih filem sebagai karya sulung dalam pengarahan berbanding bermula dengan drama atau filem pendek, Tuju mengakui dia tidak akan berani berbuat demikian tanpa sokongan individu berpengalaman dalam bidang perfileman.

“Sudah semestinya filem adalah karya agung yang sangat tinggi nilainya. Dalam mencipta karya, filem menjadi penanda aras bagi seorang pengkarya.

“Tanpa orang kuat di belakang saya yang berpengalaman dalam bidang perfileman, saya tidak berani. Tetapi kerana mereka ada di belakang saya, saya berani.

“Cuma, saya minta kalau ada yang membaca ini, doakan saya kerana menghasilkan karya agung bukan sesuatu yang mudah.

“Saya akan terus berusaha untuk merealisasikannya pada 2029, insya-Allah,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Guru Kontrak Bakal Dapat Tawaran Lantikan

0
KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,150 calon guru yang dilantik secara kontrak (CoS) akan menerima surat tawaran lantikan pada bulan ini bagi menampung kemasukan pelajar...

CATEGORIES