Tuesday, June 23, 2026
HomeHIBURAN‘Terpaksa Ludah Muka, Tendang Rosyam, Sebenarnya Saya Takut’ - Sophia Albarakbah

‘Terpaksa Ludah Muka, Tendang Rosyam, Sebenarnya Saya Takut’ – Sophia Albarakbah

PETALING JAYA – Demi menghidupkan babak dalam drama Jiwa Seorang Pentaksub, pelakon Sophia AlBarakbah sanggup mengetepikan rasa bersalah dan berdebar apabila terpaksa meludah wajah aktor handalan gandi­ngannya, Datuk Rosyam Nor.

Memegang watak Diana yang menjadi mangsa pende­raan fizikal, seksual dan emosi, Sophia, 32, berkata, adegan berat tersebut menuntut komitmen tinggi bagi memastikan pen­deritaan watak wanita tersakiti itu sampai ke hati penonton.

Menurutnya, watak yang memerlukan dia menampar dan menendang aktor berpengalaman itu berulang kali membuatkan dirinya berasa takut.

“Contohnya, dalam babak Diana meludah Firzan, beliau sendiri minta saya betul-betul meludah ke mukanya. Sebagai pelakon junior, memang rasa bersalah dan takut dianggap tidak menghormati senior, tetapi demi babak itu saya terpaksa lakukan.

“Walaupun beliau sangat berhati-hati ketika babak penderaan, beberapa adegan menyebabkan kaki saya dipenuhi lebam,” katanya.

Dalam masa sama, Sophia menyifatkan pujian daripada pelakon dan produser versatil itu terhadap mutu lakonannya sebagai penghargaan paling bermakna sepanjang pembabitan dalam naskhah tersebut.

“Alhamdulillah, apabila lakonan dipuji dan diiktiraf seorang anak seni dihormati ramai seperti beliau. Ini sangat bermakna buat saya, tambahan pula beliau sendiri yang menawarkan watak Diana kepada saya,” katanya.

Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Rosyam, dia mengakui pada awalnya gementar kerana pelakon terbabit mempunyai aura tersendiri selain gemar memberikan idea spontan ketika penggambaran.

“Beliau selalu berpesan, abang nak awak jadi pelakon yang hebat, gunakan perkongsian dan ilmu ini untuk hebatkan lagi lakonan,” ulasnya

Aktres yang sudah lapan tahun terbabit dalam arena seni itu turut berharap penonton tidak sekadar melihat kelemahan karakter Dia­na, sebaliknya memahami keadaan sebenar mangsa penderaan yang sering terperangkap dalam ketakutan dan kebuntuan.

“Walaupun Diana me­lalui pelbagai kekasaran dan ugutan, dia tetap berusaha mencari jalan keluar. Saya harap watak ini memberi harapan bahawa masih ada jalan untuk keluar daripada hubungan toksik,” katanya.

Drama bersiri 25 episod itu tular berikutan kisah seorang lelaki berpengaruh lakonan Rosyam yang taksub kepada kekasih anaknya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Piala Dunia 2026: Mbappe Cemerlang Bantu Perancis Dalam ‘Ribut’

0
PHILADALEPHIA – Kapten Perancis, Kylian Mbappe terus membuktikan statusnya sebagai antara penyerang terbaik dunia apabila meledak dua gol dalam penampilan ke-100 bersama negaranya untuk...

CATEGORIES