PETALING JAYA – “Kalau betul saya tak cantik, adakah akan menganggu kehidupan awak?”
Demikian komen penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang menyedari dirinya sering menjadi sasaran kritikan netizen mengenai rupa fizikalnya.
Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, dia enggan peduli dengan kecaman terhadap dirinya namun berharap tindakan melampau tersebut tidak melibatkan ibu bapanya.
“Dah lama saya nak cakap sebab ada yang pertikaikan tentang fizikal saya.
“Ada peminat yang beri perhatian contohnya hidung tak mancung dan tentang gigi saya.
“Kepada yang kecam sampai sanggup sunting gambar, tak baik. Keluarkan gambar lama ibu saya yang tak pakai tudung.
“Sebenarnya saya tak kisah kalian nak cakap tentang saya tapi jangan cakap fasal ibu dan ayah saya,” katanya dalam siaran langsung.
Pada masa sama, pelantun lagu Lebih Baik Berpisah itu turut mengambil kesempatan untuk menjawab pertanyaan ramai yang sering mempertikaikan latar belakang dan nama penuhnya yang mempunyai gelaran unik.
“Ada orang pertikai saya orang apa, kenapa nama ada Dayang, Awang. Itu kena tanya atuk dan nenek saya.
“Takkan saya nak tunjuk sijil lahir saya di sini. Saya cuma nak cakap tolong berhenti.
“Sebenarnya saya bangsa Kendayan Brunei. Sudah semestinya saya banyak campuran, arwah nenek saya orang Filipina,” dedahnya.
Bagaimanapun, Bella langsung tidak terkesan dengan segala tuduhan atau tekaan ramai mengenai etniknya, malah sentiasa menghormati kepelbagaian kaum.
“Kalian nak cakap orang Dusun, Kadazan, Sungai, Bajau, Suluk atau Pelaut saya tak kisah dan saya bangga.
“Kalau boleh saya nak jadi orang Muar juga. Tak apa, buat hantaran banyak-banyak.
“Saya bangga dengan semua kaum dan manusia,” jelasnya.
Malah, dia sempat menitipkan nasihat untuk berbuat baik dan bersyukur mengenali tunangnya, Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq yang disifatkannya sebagai seorang yang berpekerti mulia.
“Kita hidup sekali jadilah baik. Saya tak baik sangat tapi saya belajar untuk jadi baik.
“Saya bersyukur jumpa orang baik (Syed Saddiq), bukan sahaja dengan saya, anak-anak tapi dengan semua orang,” jelasnya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial tindakan segelintir pihak yang sengaja memuat naik gambar lama serta menyunting foto Bella dengan niat untuk mencetuskan kecaman netizen.
Sumber – KOSMO! ONLINE





