Monday, October 12, 2026
HomeHIBURANSyed Saddiq Semai Cinta, Jaminan Masa Depan Untuk Bella Astillah

Syed Saddiq Semai Cinta, Jaminan Masa Depan Untuk Bella Astillah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memilih hadiah luar biasa buat isterinya, Bella Astillah, termasuk simpanan persaraan bernilai RM100,000, perlindungan insurans dan pakej pengajian ijazah sarjana sebagai tanda kasih.

Bagi Syed Saddiq, 34, hantaran itu bukan sekadar simbolik menyempurnakan adat perkahwinan, sebaliknya lambang komitmen membina kehidupan bersama yang lebih terjamin, dengan pendidikan, kesihatan dan kestabilan kewangan menjadi antara keutamaan.

Beliau berkata, kehidupan berumah tangga bukan hanya berkisar pada kebahagiaan, malah menuntut persediaan menghadapi pelbagai cabaran dan ujian yang mungkin mendatang.

Justeru, perancangan awal perlu dilakukan supaya mereka lebih bersedia mengharungi masa depan, termasuk ketika berdepan ketidaktentuan dari sudut kewangan dan kesihatan.

“Saya rasa penting untuk kita bersiap sedia untuk masa depan. Apabila kita berbicara soal masa depan, bukan semuanya baik. Ada juga gelora, cabaran dan ujian.

“Saya rasa penting untuk kita membuat perancangan senario supaya apabila kita dibadai ombak, melalui pelbagai jenis ujian dan dugaan, kita sudah bersedia. Tidak kira dari sudut kewangan, kesihatan dan yang lain,” katanya.

Syed Saddiq menjelaskan, perancangan itu bukan semata-mata untuk menjamin kesejahteraan rumah tangganya bersama Bella, malah bagi memastikan kebajikan anak dan ibu bapa mereka turut terpelihara.

“Jadi, ini mengenai persediaan dan perancangan supaya, insya-Allah jika diberikan nikmat untuk hidup dengan jangka hayat yang panjang, kita dapat menjalani kehidupan yang sihat, lebih sejahtera dan bahagia.

“Bukan hanya antara saya dan Bella, tetapi juga bersama anak-anak serta ibu bapa kita. Jadi, ini tentang berorientasikan masa depan dan memastikan diri kita bersedia menghadapinya,” katanya.

Antara hantaran yang disediakan ialah pakej pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi di Taylor’s University, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000, perlindungan insurans kesihatan, nyawa dan penyakit kritikal untuk Bella serta anaknya, Ayden dan Ara, selain pelaburan emas.

Pendekatan itu mencuri perhatian kerana berbeza daripada hantaran perkahwinan yang lazimnya mengetengahkan barangan mewah atau berjenama.

Sebaliknya, Syed Saddiq memilih sesuatu yang membawa nilai jangka panjang, sekali gus mencerminkan keutamaan terhadap ilmu, perlindungan dan kestabilan kewangan keluarga.

Bella, 32, pula mengakui tidak berbincang secara terperinci dengan suaminya mengenai hantaran berkenaan sebelum majlis berlangsung, malah menganggapnya sebagai kejutan istimewa.

“Berbincang tiada, tapi adalah tanya-tanya sikit. Cuma suamilah yang buat kejutan untuk saya,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq sah bergelar suami kepada Bella selepas pasangan itu selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah di Menara Merdeka Maybank, di Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan kira-kira jam 10.40 pagi oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dengan Syed Saddiq menyempurnakan akad nikah menerusi sekali lafaz.

Pernikahan itu melengkapkan ikatan cinta pasangan berkenaan yang mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin berjumlah RM500 kepada Bella.

Majlis yang berlangsung di aras 118 bangunan berkenaan dihadiri kira-kira 250 tetamu, termasuk kenamaan, rakan selebriti serta ahli keluarga kedua-dua mempelai.

Syed Saddiq dan Bella tampil anggun dalam persalinan serba putih, selari dengan konsep majlis bertemakan putih dengan sentuhan Arabik Islamik atas permintaan keluarga.

Majlis turut menyaksikan penyerahan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki, manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang. Antara hantaran Bella kepada suaminya ialah sebentuk cincin, buku dan emas.

Pasangan itu turut menerima kejutan berupa tajaan menunaikan umrah.

Pasangan yang digelar BASS oleh peminat mereka itu turut merancang beberapa majlis bagi meraikan perkahwinan, termasuk resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada 18 Oktober ini.

Majlis Kenduri Rakyat pula dijadual berlangsung di Muar, Johor, pada 25 Oktober ini, sebelum diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober ini.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

5 Fakta Menarik Yang Anda Tidak Tahu Tentang Menara Eiffel

0
Menara Eiffel ialah simbol ikonik Paris, dan terkenal di seluruh dunia kerana kecemerlangan seni binanya dan kepentingan sejarahnya. Walaupun siluetnya yang tersendiri di latar...

CATEGORIES