PETALING JAYA – Kredibiliti dan pengalaman luas dalam dunia muzik serta seni persembahan terus mengangkat nama Datuk Syafinaz Selamat apabila dilantik sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pelantikan bagi penggal kedua itu berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028, sekali gus pengiktirafan terhadap sumbangan besar figura seni berkenaan dalam bidang muzik tanah air.
Berita tersebut diumumkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menerusi hantaran di media sosial malam tadi yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Syafinaz atas pelantikannya.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Datuk Syafinaz Selamat, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Aswara, atas pelantikan beliau sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” tulis kenyataan itu.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja memperlihatkan kepercayaan institusi akademik terhadap kepakarannya selaku anak seni serba boleh, malah membuka ruang lebih luas untuk menyumbang ilmu serta pengalaman kepada generasi pelapis.
Sebagai penyanyi dan guru vokal, Syafinaz dilihat mempunyai latar belakang yang cukup kukuh untuk berkongsi pengetahuan berkaitan teknik vokal, persembahan serta selok-belok industri muzik bersama warga akademik dan mahasiswa UPSI.
Peranan itu juga membolehkan pengalaman sepanjang berada dalam industri diterjemahkan dalam bentuk perkongsian ilmu, bimbingan dan pendedahan kepada pelajar yang bakal mencorakkan masa depan bidang seni persembahan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Syafinaz sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Aswara bagi tempoh dua tahun bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028.
Pelantikan berkenaan turut memperlihatkan kepercayaan terhadap kepimpinannya dalam memperkasa institusi pendidikan dan pembangunan bakat seni tempatan.
Sebelum itu, pada Ogos tahun lalu, ikon seni suara negara tersebut turut dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.
Dengan pengalaman sebagai penggiat muzik, penyanyi serta pendidik vokal, Syafinaz kini mempunyai platform lebih luas untuk menyumbang kepada kesinambungan ekosistem seni tanah air.
Sumber – KOSMO! ONLINE





