PELBAGAI cerita baik yang kita saksikan tentang penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar yang selayaknya kita labelkan sebagai artis yang ‘bersih’ kontroversi.
Empunya nama penuh Muhammad Alif Mohd. Satar ini menjadi inspirasi kepada segenap masyarakat pelbagai peringkat umur menerusi pencapaian diraihnya.
Bertitik tolak kemenangan tempat ketiga dalam program realiti One In a Million pada 2006, Alif tidak menoleh kebelakang.
Perlahan-lahan dia membina jenama, menjadi triple threat dunia seni kerana bakat dan kemampuannya dalam dunia nyanyian, lakonan dan pengacaraan.
Tidak istilah sendu dalam kerjaya seni seorang Alif Satar. Apa sahaja yang belum lagi dicapainya? Sebagai penyanyi, Alif boleh dikira sudah cukup berjaya dengan penghasilan hampir 20 buah single, enam album.
Itu tidak termasuk beberapa single yang dinyanyikan di bawah jenama Alif Satar & The Locos, selain kolaborasi bersama nama-nama besar negara seperti Raihan, Shila Amzah, Faizal Tahir dan ramai lagi.
Alif juga selayaknya diangkat sebagai pengacara prolifik dengan pengalaman luas dalam mengendalikan acara bertaraf mega seperti Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali selain puluhan rancangan televisyen kendaliannya.
Anak jati Kuala Lumpur ini juga meraih banyak kejayaan sebagai pelakon menerusi pembabitan dalam lebih 11 filem dan lebih 16 buah drama.
Kini, Alif Satar bukan sekadar seorang selebriti yang berjaya. Dia juga usahawan dengan jaringan perniagaan seperti Iktikaf Alif, Alif Satay, Pasta Panas, Buranku dan yang terbaru, khidmat penghantaran dan logistik berpusat di Arab Saudi, WEexpress.
Itu belum lagi pelbagai anugerah dan penghargaan yang dimilikinya selain menjadi tunjang kepada kempen Subuh Macam Jumaat yang kini, mendunia.
Pada saya, Alif adalah definisi pempengaruh yang sebenar. Semua pencapaian dan kejayaan yang diceritakan di atas dicapainya dalam tempoh 18 tahun, pada usianya yang masih muda iaitu 33 tahun.
Sempat saya bertanyakan tentang rahsia kejayaan seorang Alif Satar ketika bertemunya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara WEexpress Sdn. Bhd. dan Andalusia Travel baru-baru ini.
Alif mengakui, apa yang dicapai sekarang adalah ujian dari Tuhan.
“Sudah 18 tahun saya terlibat dalam industri seni. Bermula pada usia 16 tahun, pernah menyanyi di pasar, sampailah tahap yang saya capai sekarang.
“Apa yang saya belajar adalah bagaimana untuk menjaga kepercayaan yang orang bagi kepada saya. Saya bina semua ini berbelas tahun, Tuhan boleh tarik bila-bila masa.
“Apa yang saya miliki adalah ujian dari Allah S.W.T. Senang dan susah dan segala pujian yang orang layangkan kepada saya, adalah ujian. Allah sedang melihat apa yang saya lakukan.
“Asasnya, sentiasa bersyukur dengan apa yang Tuhan berikan. Sebagai manusia, tentu kita mahu lebih, sentiasa rasa tak cukup. Rasa bersyukur itulah yang menyedarkan. Apa pun, saya hanya buat apa yang saya hajatkan dan bertawakal kepada -Nya. Serah segalanya kepada Allah S.W.T,” kongsinya.
BERKHIDMAT DENGAN CARA SENDIRI
Pernah juga para netizen sebelum ini bercakap-cakap di media sosial mengenai Alif Satar yang pada mata ramai, seorang berpengaruh dan memberi inspirasi.
Sehinggakan ada yang berpandangan Alif layak menjadi calon pemimpin atau menerima anugerah kebesaran yang membawa pangkat Datuk dan sebagainya.
Tergelak besar bapa tiga cahaya mata ini apabila perkara itu diajukan kepadanya.
Kata Alif, dia belum layak bergelar Datuk, dan tidak pernah berhasrat untuk terjun ke bidang politik.
“Saya berminat berkhidmat untuk negara dengan cara saya sendiri. Tak semestinya menjadi ahli politik dan saya belum layak membawa gelaran Datuk.
“Saya hanya mahu buat sesuatu yang dapat menyatukan masyarakat. Tak kiralah sama ada melalui kempen Subuh Macam Jumaat atau apa juga usaha yang sewaktu dengannya.
“Saya sudah pun lakukan semua itu tanpa perlu saya membawa gelaran Datuk mahu pun menjadi ahli politik,” kongsinya.
Sumber : Utusan Malaysia





