Kuala Lumpur: Pernah dijulang dengan bakat ‘extraordinaire’ sebagai pelawak, pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio selama lebih empat dekad, bintang veteran, Salih Yaacob akur zaman populariti yang dikecapi dulu, kian jauh ditinggalkan.
Tiada lagi tawaran menjengah sejak kira-kira enam tahun lalu, Salih atau nama sebenarnya, Mohammad Salih Yaacob, 64, kini mencari nafkah sebagai pengulas produk dan membuat sesi ‘live’ TikTok dari kediamannya.
“Zaman kemuncak saya sudah habis. Kali terakhir saya bekerja sebagai penyampai radio dan berhenti pada 2019. Selepas itu, tiada tawaran diterima baik lakonan mahu pun nyanyian. Semua tiada.
“Sejak hilang mata pencarian, saya jual semua kereta, iaitu antara lima hingga enam kenderaan. Apa yang tinggal adalah rumah saya.
“Pendapatan pula, kalau Allah ada bagi, adalah. Tetapi, rezeki tidak putus. Ada syarikat minta buat reviu produk, jadi, dapatlah duit beberapa ribu.
“Saya juga buat sesi ‘live’ di TikTok. Dalam sebulan, dapatlah beberapa ratus ringgit. Itu pun saya bersyukur sebab tahu zaman saya sudah tamat. Sampai di sini saja,” katanya.
Namun, bersikap realistik, Salih tidak sedikit pun berkecil hati apabila tidak lagi diberi peluang dan ruang dalam bidang seni.
Salih reda, apatah lagi menyedari dirinya sudah dimamah usia.
“Buat apa saya hendak kecil hati, Saya pun sedang tunggu untuk dipanggil pulang saja. Jadi, saya tidaklah mahu merayu. Apa yang saya boleh usahakan, saya usahakan sendiri,” katanya.
Salih berkata, dia masih menanggung keluarga daripada tiga perkahwinannya. Bagaimanapun, akui Salih, bebannya tidak terlalu besar berikutan hanya dua anak daripada 12 orang yang masih bersekolah.
“Alhamdulillah, anak dan isteri semua pandai bawa diri. Anak yang paling tua sudah berusia 40 tahun, manakala paling bongsu belajar di Tahun Empat. Selain itu, ada seorang lagi anak yang masih bersekolah, iaitu belajar di Tingkatan Empat.
“Anak-anak lain semua sudah ‘lepas’ dan ada yang sudah berkahwin.
“Bagaimanapun keadaannya, saya kena tunai tanggungjawab. Isteri saya semua setia, sanggup bersama dalam susah,” katanya yang bercerai dengan isteri kedua pada 2016.
Salih yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 1985 menerusi lagu Puteri Remaja, mengakui kesihatannya kurang baik sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak beberapa sihat, biasalah, sakit orang tua. Saya tidak boleh berdiri lama sebab sudah enam tahun tidak bekerja.
“Saya duduk rumah saja. Jadi, hendak bangun lama-lama pun tidak boleh. Saya tidak berapa kuat, betul-betul tak larat. Ada masa bangun pun kena orang angkat.
“Tetapi, bukanlah sebab penyakit. Saya tiada sakit,” katanya.
Ketika bersiaran di konti, Sinar FM, Salih yang dikenali sebagai ‘Abang Jem’ menjadi buah mulut ramai melalui keletah dan jenaka bersahajanya.
Namun, selepas 13 tahun menjadi penyampai radio, Salih mengumumkan pengundurannya pada 2019.
Salih memulakan tugas di konti pada 2006, mengendalikan slot Sinar Pagi bersama Raja Azura dan Khairil Rashid.
Salih memiliki tiga isteri iaitu Norlizah Mamat, 60; Norfara Wahida Sulaiman, 46, dan Samihah Sheikh Amy, 39.
Bagaimana, Salih bersama isteri kedua, Norraha Hamat, 56, bercerai pada 2016.
Hasil perkahwinannya, Salih dikurniakan 12 anak.
Kerjaya Salih bermula selepas menyertai sesi uji bakat Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia pada 1980. Di Pentarama, Salih bertugas sebagai penari dan penyanyi.
Selepas tiga tahun bersama Pentarama, Salih dilapor meneruskan kerjaya bersama Orkestra Tentera Darat (OTD) sehingga 1986.
Ketika bersama OTD, Salih ditawar muncul dalam program Mekar Sejambak terbitan RTM. Salih pernah merakam enam album dan membintangi filem ‘box office’ seperti Jejaka Perasan pada 1986 dan Bayangan Maut (1991).
Sumber – Harian Metro





