WALAUPUN berdepan pelbagai ujian dan pahit getir, pelawak dan usahawan terkenal, Shuib tidak pernah kenal erti putus asa untuk meneruskan perniagaan yang sudah diusahakan sejak enam tahun lalu.
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 41, berkata, dia percaya dalam bidang perniagaan memang ada turun dan naiknya serta ujian yang perlu dilalui.
“Saya percaya satu benda, kalau saya berhenti berniaga, saya kalah kerana perjuangan dalam berniaga memang macam ini ada naik dan turun serta ujian berat yang tak dapat digambarkan.
“Jadi, saya sentiasa berjuang dalam perniagaan dan ini adalah tahun keenam. Saya anggap ia tahun kebangkitan kerana hampir tiga tahun saya jatuh.
“Ada yang cakap berniaga ini kena elok sikit dan jangan jadi macam dulu. Saya tahu itu khilaf dan kesilapan dulu. Saya belajar dan tak pernah putus asa serta sentiasa cari peluang perbaiki diri dan majukan apa yang saya buat. Insya-Allah, beri manfaat pada orang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Sepah Penyet bersama pelawak Mamat Sepah di Presint 15, Putrajaya, baru-baru ini.
Mengenai kerjasama dengan Mamat, 39, pula, kata Shuib, dia mengajak rakan baiknya itu menceburi perniagaan kerana Mamat tidak pernah terbabit dalam perniagaan yang serius sebelum ini.
“Bila dia ada, saya nampak satu benda yang lain kerana sebelum ini, saya jalankan sendiri bersama isteri dan ahli keluarga.
“Tapi, kali ini saya buat perniagaan dengan kawan yang saya sudah kenal dari awal masuk dalam industri seni dan hari ini, saya duduk dengannya dalam perniagaan.
“Alhamdulillah, Mamat pun dah nampak ada sinar dan harapan serta potensi. Tinggal lagi kita nak fokus dan kuat untuk menempuh dugaan dalam perniagaan ini,” katanya.
Shuib berkata, Sepah Penyet juga istimewa kerana membabitkan kerjasamanya bersama Mamat.
“Dari satu kumpulan lawak Sepahtu dulu dan kini saya manfaatkan untuk jadikannya satu perniagaan.
“Kami sudah berkawan hampir 20 tahun dan saya cakap dengannya dalam banyak benda yang kita pernah buat inilah yang paling serius.
“Selepas apa yang kami lalui dulu, ini adalah satu dunia baru untuk saya dan Mamat. Insya-Allah, tahun ini, kita sasarkan untuk buka 15 cawangan tapi kalau tak sempat kita buka 10 dulu,” katanya.
Sumber: Harian Metro





