Wednesday, May 13, 2026
HomeHIBURAN‘Penonton Pukul Rata, Ramai Ustaz, Agamawan Betul- Betul Baik’ - Beto Kusyairy

‘Penonton Pukul Rata, Ramai Ustaz, Agamawan Betul- Betul Baik’ – Beto Kusyairy

BEBERAPA bulan ini, kelibat Beto Kusyairy kerap menghiasi pelbagai naskhah besar, sekali gus membuktikan kredibilitinya sebagai aktor gred A tidak pernah pudar.

Pada waktu industri hiburan yang sering mengejar wajah-wajah tular, Beto memaklumkan kesediaannya menerima apa jua naskhah asalkan berkualiti.

“Desas-desus saja, saya tak menolak untuk buat episod bagi drama televisyen, mainstream dan sebagainya, asalkan skripnya bagus.

“Dalam fasa ini, saya bukan lagi nak kejar nama atau populariti.

“Ketika ini, saya lebih suka buat benda yang beri kepuasan dari sudut hasil kerja dan sesuatu yang boleh beri manfaat kepada saya juga penonton,” katanya lagi.

Tambahnya, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada melakonkan watak yang menyentuh isu curang mahupun penunggang agama bagi mengelakkan dilabel negatif daripada masyarakat.

“Kita dah terlalu banyak siri kisah cinta tiga segi, penunggang agama dan sebagainya. Bagi saya, bila sudah ada yang buat, kenapa saya perlu buat?

“Ini hanyalah pendapat saya. Disebabkan terlalu banyak kisah penunggang agama, penonton akan pukul rata kepada semua agamawan sedangkan ada ramai ustaz dan agamawan yang betul-betul baik.

“Saya tak nak jadi punca kepada persepsi begitu, jadi kalau boleh saya cuba elak,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon berusia 46 tahun itu turut terlibat dalam drama terbaharu Astro berjudul Good Boys Go To Heaven memegang watak Yasser iaitu seorang bapa kehilangan anak sebelum jasadnya ditemui dalam keadaan tragis setelah dibunuh dengan kejam.

Menurutnya, karya berkenaan sememangnya berat untuk dibawa, namun tidak dapat memperincikan dengan lanjut.

“Sebenarnya semua babak berat. Daripada awal-awal penggambaran kita dah buat babak jumpa anak (meninggal). Tapi dia membantu untuk membawa perjalanan karakter itu sampai ke hujung.

“Kalau nak kata berat, ada banyak dan saya tak boleh nak beritahu,” katanya.

Anak rakan jadi inspirasi

Malah, Beto menjadikan hubungan rapatnya dengan anak-anak rakan sebagai inspirasi memandangkan dia tidak mempunyai zuriat sendiri.

“Sudah semestinya mencabar, setiap satu karya ada cabaran yang tersendiri dan secara khususnya, saya nak memberi keadilan sebagai seorang ayah yang kehilangan anak dan dalam masa sama saya nak gambarkan benda itu seadil boleh.

“Dari sudut cabaran, saya kan tak ada anak sendiri tetapi saya ada ramai kawan yang anak-anak mereka sangat rapat dengan saya.

“Benda itu sedikit sebanyak membantu dan selebihnya atas input daripada penulis skrip dan pengarah sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 itu berharap drama arahan Ariff Zulkarnain berkenaan dapat membuka minda penonton untuk mendapatkan bantuan ke saluran yang tepat sekiranya berdepan masalah.

“Siri televisyen atau filem adalah cerminan kepada masyarakat. Jadi, kita nak bercerita sejujur habis.

“Kita nak penonton buka minda, siri ini salah satunya cara kita untuk dedahkan atau bagi yang menonton terbuka hati.

“Kalau sekiranya mereka boleh kaitkan, mereka akan dapatkan bantuan kepada tempat yang betul untuk membantu diri mereka sendiri,” tutupnya.

Good Boys Go To Heaven ditayangkan bermula 8 Mei lalu setiap Jumaat menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Astro Citra (saluran 108). Selain Beto, drama tersebut dibintangi Zahirah Macwilson, Malek Mccrone, Firdaus Karim, Amerul Affendi, Sky Iskandar dan Sayf Mikael.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Saya Tak Kejar Gelaran Raja Rock Negara’ – Amy Search

0
KUALA LUMPUR – Legenda rock tanah air, Datuk Amy Search tidak pernah mengejar sebarang gelaran termasuk Raja Rock Negara selepas lebih lima dekad berkecimpung...

CATEGORIES