Kuala Lumpur: Usahawan dan personaliti media sosial, Ojen Aiwah mendakwa menjadi mangsa penipuan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM246,611 daripada seorang wanita yang menawarkan khidmat sebagai ‘personal shopper’ untuk perniagaan kunafah miliknya.
Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli, 29, berkata, wanita berusia 35 tahun yang berasal dari Sabah itu dipercayai menggunakan helah licik dengan mengemukakan lebih 200 resit pembayaran palsu bagi tujuan tempahan.
“Saya menjadi mangsa ‘scammed’ oleh seorang yang membuat khidmat PS (personal shopper) Kunafah Aiwah sebanyak hampir suku juta.
“Setakat ini, wanita dari Sabah berusia 35 tahun itu menipu sebanyak RM246,611 menggunakan resit palsu, salah laku menukar dan menyunting resit palsu (CIMB dan Maybank). ‘Scam’ melalui pindahan wang bukan Qr pay.
“Wanita ini terlalu licik dan bijak, resit palsu memang sama macam resit sebenar, tarikh, masa, jumlah pembelian semua sama. Dia adalah bekas kakitangan di salah satu bank di Sabah, namun sudah dibuang kerja,” katanya.
Menerusi video yang dikongsi di media sosial, Ojen dilihat bersemuka dengan wanita terbabit sambil menuntut agar bayaran segera dilunaskan.
Menurut Ojen, insiden yang berlaku amat mengecewakan kerana ia memberi tamparan hebat terhadap usaha keras dia dan staf dalam mengembangkan perniagaan makanan itu.
“Terus terang semalam saya dah hilang sabar sebab saya dan kakitangan penat berniaga, nak patah tulang belakang bakar kunafah.
“Namun saya pasti Allah akan bantu, Allah akan bagi lebih lagi dan ada hikmahnya. Tapi saya tidak akan lepaskan wanita ini sewenang-wenangnya.
“Saya akan pastikan dia meringkuk dalam penjara. Tidak dapat lagi meneruskan modus operandi. Saya tak nak peniaga atau lebih ramai orang terkena nasib sama,” katanya.
Ojen memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat lalu berhubung penipuan terbabit.
Difahamkan, individu itu sudah memulangkan RM69,300 setakat ini, namun menurut Ojen, fokusnya kini bukan lagi terhadap wang semata-mata.
“Saya ada minta izin dan nasihat daripada pegawai polis adakah saya boleh viralkan muka dia? Jawapannya, ‘silakan sangat boleh, lagi-lagi ini kes membabitkan diri sendiri bukan orang lain’.
“Tapi hari ni saya masih baik lagi ‘censored’ muka dia. Saya tunggu dia bayar duit saya sedikit pada hari Selasa ini berjumlah RM64,000. Kalau tak dapat, saya teruskan viralkan muka pula.
“Sekarang saya dah tak hairan fasal duit dah. Yang penting saya nak dia ke lokap dan kena bagi pengajaran. Kalau saya tak ambil tindakan, berapa ramai lagi yang akan jadi mangsa,” katanya.
Sehingga kini video itu meraih lebih satu juta jumlah tontonan selepas dimuat naik malam tadi.
Sumber : Harian Metro





