Mula Berniaga Nasi Ayam, Faye Kusairi Diselar ‘Artis Sendu’

0
665
Foto: mStar

Kuala Lumpur: Faye Kusairi menafikan gosip konon membuka gerai menjual nasi ayam akibat tiada ‘job’ berlakon.

Sebaliknya, bintang drama Tujuh Hari Mencintaiku ini berkata, ketika hamil anak ketiga yang dilahirkan Julai lalu, dia sudah memperlahankan kerjaya seninya.

“Alhamdulillah, banyak tawaran yang saya terima sejak tahun lalu. Tetapi, saya terpaksa tolak beberapa ‘job’ kerana mengandung. Apatah lagi, ada watak memerlukan saya beraksi lasak.

“Ketika itu, saya masih bekerja ke Singapura dan Brunei sehingga usia kandungan mencecah enam bulan. Selepas itu, saya terus tolak semua tawaran sehinggalah selepas pantang,” katanya.

Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 36, tidak kisah jika masyarakat memandang rendah keputusannya untuk berniaga kerana enggan memikirkan stigma negatif masyarakat.

Menurutnya, dia lebih suka melihat sesuatu dari sudut yang positif.

“Biasalah orang lebih suka menilai dari sudut negatif terlebih dulu tanpa berfikir menerusi ruang lingkup yang lebih luas. Saya pula lebih suka mengambil setiap perkara dari sudut yang positif.

“Saya hanya ingin fokus kepada mensyukuri apa yang Allah sudah aturkan buat saya.

“Bukan mudah sebenarnya saya nak dapatkan ilham dan keberanian ini (berniaga). Ini pun saya doa banyak-banyak sebelum akhirnya buat keputusan untuk berniaga,” katanya.

Faye berkata, dia mendapat ilham membuka perniagaan nasi ayam daripada anak sulung yang menggemari juadah itu.

“Kebetulan saya perhatikan di kawasan ini sudah bertahun-tahun tiada orang berniaga nasi ayam. Sebagai ibu, saya berpendapat jika buka perniagaan ini, ia akan memudahkan ibu lain.

“Lebih-lebih lagi ibu yang bekerja. Pada pendapat saya, nasi ayam adalah juadah mesra masyarakat.

“Saya bersyukur sejak dibuka tiga minggu lalu, perniagaan saya dapat sambutan sangat menggalakkan. Semuanya habis dijual setiap hari hingga serba salah apabila ada tempahan terpaksa ditolak,” katanya.

Faye berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta pada 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here