Kuala Lumpur: Demi menghormati penderitaan dan keperitan rakyat di Gaza, Palestin, penganjur Konsert Milenia 2023 mengambil keputusan untuk menunda acara itu sekali lagi.
Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 25 November ini di Stadium Malawati Shah Alam akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak.
Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob yang juga penganjur konsert berkenaan berkata, pihak mereka menerima arahan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memohon agar acara itu ditangguhkan kerana berpendapat ia tidak sesuai dijalankan sekarang.
“Kami selaku penganjur perlu menghormati keputusan tersebut dan bersetuju ia tidak sesuai berlangsung ketika ini, di saat dunia sedang bersimpati dengan perang dan kekejaman Zionis terhadap saudara kita di Palestin.
“Pihak kami juga memulangkan wang kepada semua yang telah membeli tiket dari ticket2u.com dengan kadar segera.
“Kami juga tidak mahu dilemparkan tuduhan negatif seperti ‘scammer’ dan sebagainya berikutan konsert ini sudah tertunda sebanyak tiga kali diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Menurut Jeffri, satu tarikh baru akan diumumkan kelak sekiranya berjaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkenaan.
“Kepada semua peminat yang menantikan Konsert Milenia 2023, kami akan mengumumkan tarikh baru jika mendapat kebenaran daripada pihak sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffri berkata, pihaknya meluahkan rasa kesal dan berasa seolah-olah dianaktirikan apabila konsert lain termasuk artis dari luar negara tidak pula menjadi pertikaian sesetengah pihak seperti yang berlaku kepada konsert dangdut ini.
“Bukan mempersoalkan, jauh sekali tidak berpuas hati kerana konsert ini pasti akan terlaksana jua. Namun perlu mendapat kesesuaian masa kerana faktor luar jangka yang sememangnya di luar batas kemampuan kami selaku penganjur.
“Namun, kehadiran pelbagai jenis muzik yang memasuki Malaysia tetap diluluskan konsert mereka. Tidak adil jika muzik dangdut ini dipinggirkan dan dianak tirikan sehingga sebegitu sukar untuk dianjurkan.
“Tidak dapat dinafikan genre muzik dangdut ini sangat berat pada persepsi masyarakat namun kami selaku penganjur berpandangan dari perspektif berbeza kerana muzik dangdut ini adalah antara genre muzik tradisi negara sejak dulu lagi dan kepelbagaian cara mendendangkan irama muzik dangdut ini menjadi sebab utama kami memilih untuk menjayakan konsert ini.
“Selain itu, kami juga sudah mendapat kelulusan dari pelbagai agensi dan pihak berkuasa serta sokongan dari Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (Motac) serta Tourism Malaysia untuk mempromosikan Malaysia melalui genre muzik dangdut yang sealiran antara dua negara iaitu Indonesia dan mempunyai peminat yang sangat ramai.
Menurut Jeffri, biarpun konsert terbabit terpaksa ditunda, namun acara Muzik Milenia Food Festival Ambang Tahun Baru akan tetap diteruskan.
“Semasa sesi perbincangan bersama kerajaan negeri Selangor, besar kemungkinan acara itu akan diteruskan kerana mendapat perhatian daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk dijadikan acara penutup tahun di Stadium Malawati Shah Alam.
“Selain itu, acara itu kemungkinan besar akan menjadi salah satu lokasi pertunjukan bunga api di Shah Alam dan festival ini juga mampu memberi peluang kepada peniaga untuk berniaga,” katanya.
Sumber: Harian Metro