Sunday, November 16, 2025
HomeHIBURANBalas Baik Teguran Halus Kepada Kecaman – Nabila Razali

Balas Baik Teguran Halus Kepada Kecaman – Nabila Razali

NABILA Razali antara penyanyi tempatan yang puas menerima kecaman ekoran kontroversi yang pernah menghinggap perjalanan seninya.

Malah, cemuhan demi cemuhan dilemparkan lebih-lebih lagi berhubung tahap kemampuan nyanyiannya yang dikritik ramai pihak.

Namun, jarang sekali kita melihat penyanyi berusia 32 tahun ini melenting atau membalas kritikan dan kecaman yang dilayangkan.

Tetapi, diam bukan bermaksud kalah. Malah berdiam itu bertukar menjadi senjata paling ampuh untuk melawan serangan.

Dan kerana puas berdiamlah Nabila bersuara. Namun bukan dengan menyerang balas satu per satu komen jahat netizen, tetapi menerusi teguran ‘halus’ yang dimuatkan dalam lirik lagu Balas Baik.

“Lagu Balas Baik boleh dikaitkan dengan apa yang saya sedang lalui sekarang, selepas sebelum ini bertubi-tubi menerima komen-komen jahat netizen.

“Selama ini saya tidak pernah melatah. Melainkan baru-baru ini itupun saya sekadar bertanyakan kepada mereka, kenapa sikap mereka begitu.

“Jadi dengan lagu Balas Baik ini, saya nak cipta satu gerakan untuk mengajak peminat agar mulalah membalas baik terhadap semua kejahatan yang orang lakukan kepada kita.

“Saya yakin dunia akan aman kalau kita semua berbuat demikian,” katanya yang ditemui pada sidang media dan sesi bertemu peminat baru-baru ini.

Penerimaan pendengar terhadap lagu ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak itu memberangsangkan dengan merekodkan lebih 40,000 jumlah tontonan selepas lebih enam hari muzik videonya ditayangkan di Youtube.

“Selepas terima demo dari Audi, saya terus katakan ya. Tanpa ragu, lagu Balas Baik inilah yang saya mahu hadiahkan kepada peminat. Itu pun setelah lama tidak muncul dengan lagu baharu.

“Saya teliti dalam memilih genre untuk lagu yang saya nak rakamkan kali ini. Kalau difikirkan, agak lama saya tidak muncul dengan rentak lagu seperti ini.

“Apa pun, Balas Baik bakal disusuli kesinambungannya. Insya-Allah, dalam perancangan saya untuk keluarkan lagu seterusnya,” katanya lagi.

LIGAT DI PENTAS
“Status seorang isteri, ibu dan perempuan berhijab tidak menghalang untuk saya ligat di atas pentas.”

Perkara itu ditegaskan Nabila tatkala kedengaran suara-suara sumbang yang kurang senang dengan kelincahan anak jati Selangor ini menari atas pentas. Perkara itu, pada segelintir netizen tidak bersesuaian dengan status terkini Nabila Razali.

“Jangan samakan Nabila Razali di pentas dengan di rumah. Keduanya ada pembawakan berbeza. Saya harap dua karakter ini tidak disatukan.

“Sebagai penyanyi, saya harus pelbagaikan sisi kreativiti saya. Tak wajarlah saya duduk dalam zon selesa sahaja.

“Saya hormati pandangan mereka yang tak dapat menerima dua sisi berbeza dalam diri saya. Saya tak mahu puaskan hati semua orang.

“Tetapi saya mampu hargai dan raikan mereka yang menyokong dan meminati saya,” ujarnya.

USAHA KE ARAH LEBIH BAIK
Ada yang berpandangan kekuatan Nabila Razali bukan pada vokalnya, tetapi kebijaksanaan dia mencorakkan halatuju kerjaya nyanyiannya selain pilihannya yang tepat dalam menentukan genre muzik yang dibawakannya.

Namun, penyanyi yang mesra disapa sebagai Bella ini tidak pernah berhenti berusaha memperbaiki dan mengasah kemampuan nyanyiannya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya ambil inisiatif, belajar untuk perbaiki nyanyian dan tarian saya. Ada pembimbing yang selalu mengingatkan agar prestasi saya sentiasa meningkat.

“Saya belum hebat, masih dalam proses belajar dan memperbaiki kekurangan. Cuma untuk menjadi lebih baik, saya perlukan sokongan berterusan dari tenaga pengajar dan peminat,” kongsinya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Walau Sedang Berpantang, Yana Samsudin Hadir Terima Ijazah Sarjana

0
"Sepatutnya hari ini saya bersalin… tapi takdir memberi saya peluang menjejak pentas konvokesyen!" Demikian kongsi, pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin selepas selesai istiadat konvokesyen untuk...

CATEGORIES