Akhirnya! Ustaz Don Kembali Dalam Program Salam Baitullah

0
281
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Ustaz Don Daniyal Don Biyajid telah kembali sebagai pengacara program Salam Baitullah yang diterbitkan oleh RTM di TV1, malam tadi.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan bahawa Ustaz Don, yang sebelum ini direhatkan akibat kontroversi mengenai perkongsiannya tentang kisah Nabi Muhammad SAW, telah kembali memandu program Salam Baitullah yang disiarkan pada jam 9 malam tadi.

Menurut Suhaimi, Ustaz Don kini mengendalikan tugas pengacara bersama Mohd Fakhrul Radhi Khamaruddin, seorang anggota kumpulan nasyid popular, UNIC.

“Iya betul.. Ustaz Don kembali malam ini,” katanya kepada BH Online.

Suhaimi menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil setelah pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ustaz Don untuk membincangkan kontroversi yang timbul.

Sebelum ini, Suhaimi mengesahkan bahawa Ustaz Don telah direhatkan dari mengendalikan program Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung di TV1 sejak 2 Jun lalu.

Ustaz Don dilaporkan direhatkan dari mengendalikan program tersebut berikutan pertikaian netizen mengenai kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang beliau ceritakan semasa siaran di sebuah stesen radio, yang mengundang kritikan dari pelbagai pihak.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan mengenai pernyataan Ustaz Don tentang kisah Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW yang diragui.

Baru-baru ini, Ustaz Don dipanggil oleh JAKIM untuk sebuah pertemuan yang turut dihadiri oleh wakil dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri, dan Ustaz Fawwaz Fadhil.

Salam Baitullah adalah program utama RTM yang disiarkan setiap musim haji dan kembali menemui penonton dari 2 hingga 17 Jun ini.

Pada tahun ini, 17 episod program Salam Baitullah disiarkan secara langsung di saluran TV1, Saluran Berita – 123 MyTV, serta RTMKlik selama satu setengah jam, bermula dari jam 9 hingga 10.30 malam.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here