WASHINGTON/DOHA/ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mengumumkan satu gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa, bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara.
Trump turut mencadangkan kedua-dua pihak diberi sedikit masa untuk menyelesaikan misi yang sedang dijalankan sebelum gencatan senjata dimulakan secara berperingkat.
“Dengan andaian segala-galanya berjalan lancar, seperti yang sepatutnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, atas ketahanan, keberanian dan keberanian mereka dalam menamatkan, apa yang seharusnya dikenali sebagai ‘PERANG 12 HARI’,” tulisnya menerusi laman Truth Social.
Bagaimanapun pengumuman itu dibuat hanya beberapa minit selepas kedua-dua pihak saling mengancam untuk melancarkan serangan baharu.
Menerusi laporan CNN, Iran belum menerima sebarang cadangan gencatan senjata dan tidak melihat keperluan untuk itu, memetik seorang pegawai kanan Iran.
Susulan itu, Israel enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Beberapa jam sebelum itu, tiga pegawai Israel memberi isyarat bahawa kempen ketenteraan di Iran bakal ditamatkan tidak lama lagi dan mesej itu sudah disampaikan kepada AS.
Trump seterusnya mengumumkan gencatan senjata beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Amerika di Qatar, namun tidak sebarang kecederaan.
Iran sebelum ini memberi amaran akan membalas tindakan Amerika selepas pesawat pengebomnya menjatuhkan bom bunker-buster seberat 30,000 paun ke atas kemudahan nuklear bawah tanah Iran hujung minggu lalu, serentak dengan kempen udara Israel.
Malah Trump turut menimbulkan kemungkinan kerajaan Iran digulingkan.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata negaranya tidak akan menyerang sesiapa dan tidak akan menerima sebarang serangan ke atas negaranya.
“Kami tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk pencerobohan, inilah pendirian rakyat Iran,” katanya.
Bagaimanapun, Iran memberi notis awal kepada Amerika melalui saluran diplomatik beberapa jam sebelum serangan, selain memaklumkan pihak berkuasa Qatar.
Trump menyifatkan langkah itu sebagai petanda positif.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Iran kerana memberi makluman awal bagi membolehkan tiada kehilangan nyawa atau kecederaan berlaku.
“Mungkin Iran kini boleh melangkah ke arah keamanan dan keharmonian di rantau ini, dan saya dengan sepenuh hati akan menggalakkan Israel melakukan perkara yang sama,” katanya.
Tindakan Iran dilihat mencerminkan strategi lama dalam menangani konflik dengan AS dan Israel dengan bertindak balas secara ketenteraan untuk menjaga maruah, namun berhati-hati supaya tidak mencetuskan konflik berlarutan yang tidak mampu ditanggung negara itu.





