KAJANG – Seorang lelaki maut selepas tergelincir dan terjatuh dari bangunan tingkat 23, manakala rakannya berjaya ditahan semasa mencuri kabel di sebuah apartmen di Kajang Utama, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 8.20 pagi.
Menurutnya, seorang suspek berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan apartmen, manakala seorang lagi maut setelah tergelincir dan jatuh ke tingkat empat.
“Seorang suspek maut di tempat kejadian dipercayai terjatuh dari tingkat 23 bangunan ketika cuba bersembunyi dan melarikan diri.
“Suspek dipercayai melompat ke aras lain melalui balkoni, namun tergelincir dan jatuh ke tingkat empat bangunan,” katanya.
“Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, salah seorang suspek yang berusia 31 tahun ditangkap bersama enam gulung wayar tembaga dan beberapa peralatan untuk memotong kabel.
“Suspek yang ditahan ini mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
“Suspek berusia 29 tahun yang maut juga didapati mempunyai 10 rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo