ALOR SETAR, 27 Oktober- Polis Kedah mengesahkan kebanyakan laporan palsu membabitkan kes samun di negeri itu adalah membabitkan golongan pelajar.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, mangsa membuat laporan polis mendakwa mereka disamun hingga menyebabkan kehilangan barangan peribadi dan dokumen penting termasuk kad pengenalan.
Beliau berkata, laporan palsu tersebut dipercayai dibuat bagi membolehkan mereka memohon kad pengenalan yang baharu.
Sebaliknya, laporan berkenaan dibuat selepas individu terbabit kehilangan kad pengenalan atas kecuaian sendiri serta mahu mengelak daripada dikenakan denda atau penalti oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan yang baharu.
“Pelaku tidak sedar nanti apabila polis siasat laporan yang dia dibuat mengatakan dia disamun, bila kita membuat penyiasatan rupanya palsu dan bila laporan palsu kita akan ambil tindakan, mereka juga akan direkodkan sebagai pesalah jenayah.
“Jadi jika didapati bersalah sekali gus akan menjejaskan masa depan mereka kerana ada rekod jenayah,”katanya.
Jelas Fisol, mereka yang membuat laporan palsu serta memberikan maklumat palsu boleh didakwa dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Fisol berkata sejak Januari lalu, polis Kedah menerima 207 laporan berkaitan kejadian samun yang berlaku di negeri itu.
Daripada jumlah itu, 77 kes berjaya diselesaikan manakala 20 lagi adalah laporan palsu.