KEMAHUAN berhijrah memerlukan tekad, keazaman dan pengorbanan tinggi. Bayangkan, umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dahulu perlu meninggalkan tanah air tempat kelahiran, mungkin selama-lamanya tanpa mengetahui bilakah akan kembali.
Mereka meninggalkan harta benda sekian lama diusahakan serta berpisah dengan ahli keluarga dan sahabat handai yang hidup serta membesar bersama.
Perjalanan hijrah itu pula tidak mudah, terpaksa keluar secara bersembunyi dibimbangi ditangkap dan dihalang Musyrikin Makkah dan perlu pula melalui musafir panjang di padang pasir panas dan mencabar.
Yathrib yang menjadi tempat tujuan itu belum diketahui bagaimanakah keadaannya. Di mana tempat mereka mahu tinggal, bagaimana mahu menyara hidup di tanah asing dan bagaimana pula penerimaan penduduk di sana.
Oleh itu, keputusan keluar berhijrah itu sendiri bukan mudah, apatah lagi bila difikirkan persoalan di atas. Nabi SAW maklum hal ini, maka Baginda memberikan pesanan jelas, mengandungi sisi iman, ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT.
Sayidina Umar al-Khattab RA meriwayatkan beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya segala amalan itu bermula daripada niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu (ia akan memperoleh berdasarkan) apa niatnya. Maka sesiapa (berniat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa hijrahnya untuk dunia, maka ia akan dipenuhi atau kerana seorang wanita, maka ia akan mengahwininya. Oleh demikian hijrahnya adalah berdasarkan kepada maksud apa hijrah itu dilakukan.”
Hadis ini diriwayatkan Imam Bukhari pada permulaan kitabnya Sahih al-Bukhari, iaitu Kitab al-Iman dan lima tempat lain dalam sahihnya. Imam Muslim meletakkan hadis ini pada Kitab al-Imarah dalam Sahih Muslim, manakala Imam Abu Daud pula memasukkannya pada Kitab al-Talaq dalam Sunan Abu Daud.
Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis ini pada Kitab Fadhail Jihad dalam Sunan al-Tirmizi; Imam Ibnu Majah pada Kitab al-Zuhd dalam Sunan Ibnu Majah dan Imam al-Nasaie dalam Kitab al-Taharah pada Sunan al-Nasaie. Hadis ini juga diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad Hanbal, al-Daraqutni, Ibnu Hibban dan al-Bayhaqi.
Ulama meletakkan hadis ini di kedudukan tinggi dan penting kerana memperingatkan umat Islam untuk memperbetulkan niat semata-mata demi reda Allah SWT.
Maksud amalan bermula dengan niat
Imam Bukhari meriwayatkan Nabi SAW berkhutbah dengan hadis ini dan diikuti Sayidina Umar al-Khattab yang juga berkhutbah dengannya. Imam Shafie dan Imam Ahmad menjelaskan maksud ‘amalan itu bermula dengan niat’ adalah sepertiga daripada ilmu.
Ini kerana amalan seorang hamba dilihat kepada tiga aspek, iaitu dengan hati, lidah dan anggota. Niat adalah dengan hati dan antara tiga bahagian terbabit.
Oleh itu, ulama suka memulakan kitab dan karangan mereka dengan hadis ini seperti dilakukan Imam Bukhari. Hal sama dilakukan Imam Nawawi yang memulakan ketiga-tiga kitabnya iaitu Riyadh al-Salihin, al-Azkar dan al-Arba’in al-Nawawiyyah dengan hadis mengenai niat.
Berdasarkan maksud hadis ini juga, maka ulama sepakat menetapkan setiap amalan ibadah mestilah dengan niat, sehingga jika adanya amalan dilakukan mukallaf beriman tanpa niat, maka ia tidak bersangkut sebagai amalan syarak serta tidak menerima ganjaran.
Pada aspek faedah, hadis ini menjelaskan peri penting niat ikhlas demi Allah SWT ketika melakukan suruhan-Nya termasuk ketika mahu keluar berhijrah. Ia juga sebagai teguran bahawa amalan kita akan dinilai berdasarkan apa yang kita niatkan.
Dalam konteks hijrah, ia bukan sekadar ‘berpindah’ secara fizikal dari satu tempat ke lokasi tertentu semata-mata. Hijrah juga sarat dengan makna rohani, daripada iman kukuh di dalam hati, ikhlas melakukannya demi Allah SWT sehingga sanggup mengorbankan apa sahaja dimiliki.
Korban nyawa, harta bermula niat
Kemahuan berkorban termasuk nyawa dan harta sendiri adalah tahap paling tinggi amal insan, bermula dengan niat dan azam ikhlas. Oleh sebab itu, pentingnya niat kerana ia menghasilkan azam dan tekad. Namun kekukuhan azam bergantung pada apa yang diniatkan.
Hanya niat atau tujuan untuk Allah SWT mampu melahirkan tekad dan pengorbanan sebegitu tinggi seperti ditunjukkan generasi sahabat Nabi SAW berhijrah.
Sudah pasti juga ia dimulai dengan keimanan jelas lagi bersih kepada Allah SWT sehingga melahirkan sifat cinta kepada Pencipta lalu sanggup meninggalkan apa dimiliki untuk pemilik sebenar iaitu Allah SWT.
Dalam ibadah, niat demi Allah SWT perlu sentiasa diperbaharui dan dijadikan sebagai permulaan setiap amalan. Ini juga bermakna azam dan tekad kita untuk menjadi lebih baik perlu sentiasa diperbaharui dan tidak rasa selesa dengan keadaan sedia ada.
Muslim yang baik adalah memiliki kemahuan untuk berhijrah kepada lebih baik sama ada sebagai hamba Allah SWT yang soleh, anak yang taat, ibu bapa penyayang, pemimpin amanah, pelajar yang tekun, pekerja berdedikasi dan lain-lain posisi dipertanggungjawabkan. Inilah antara maksud ‘hijrah’ dalam konteks Muslim pada masa kini.
Sumber : Berita Harian





