KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara mengesahkan 19 individu termasuk pemimpin utama GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) antara ditahan dalam serbuan sepasukan polis, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, isteri kepada pemimpin tersebut antara 12 lelaki dan tujuh wanita berusia 25 hingga 65 tahun ditahan sekitar pukul 5.40 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan reman terhadap 19 individu itu akan dijalankan di Mahkamah Shah Alam, petang ini.
“Kesemua mereka dalam tindakan permohonan reman yang bermula pukul 3 petang ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, 402 kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam serbuan Op Global di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 10 kanak-kanak juga dihantar ke rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapati mereka adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan autisme.
Pecahan jumlah mangsa adalah 202 lelaki dan 190 perempuan.
Proses saringan kesihatan telah dijalankan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dengan bantuan JKM dan Kementerian Kesihatan.
Seramai 159 individu telah ditangkap membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita.
Sumber : KOSMO! ONLINE





