“Saya menerima ratusan mesej, e-mel dan komen daripada pengikut kami di India yang memaklumkan mereka tidak dapat mengakses akaun kami.
“Meta telah menyekat akaun @Muslim atas permintaan undang-undang kerajaan India. Ini adalah satu bentuk penapisan,” kata Ameer, yang juga pengasas dan ketua pengarang akaun berita berkenaan, dalam satu kenyataan.
Meta enggan mengulas lanjut. Seorang jurucakap syarikat teknologi itu hanya merujuk AFP kepada laman sesawang syarikat yang menjelaskan dasar menyekat kandungan apabila kerajaan mendakwa kandungannya ‘bertentangan dengan undang-undang tempatan’.
Perkembangan itu, yang mula dilaporkan oleh majalah teknologi AS, User Magazine, milik wartawan Taylor Lorenz, berlaku ketika keganasan terburuk antara dua negara kuasa nuklear Asia Selatan itu dalam tempoh dua dekad.
Akaun @Muslim adalah antara sumber berita Islam paling ramai pengikut di Instagram.
India turut mengharamkan lebih sedozen saluran YouTube dari Pakistan atas dakwaan menyebarkan kandungan ‘provokatif’, termasuk saluran berita dari negara itu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, akses kepada akaun Instagram bekas Perdana Menteri Pakistan dan bekas kapten pasukan kriket, Imran Khan, turut disekat di India.
Pelakon Pakistan yang sering muncul dalam filem Bollywood seperti Fawad Khan dan Atif Aslam juga tidak lagi dapat diakses di India, selain beberapa pemain kriket terkenal, termasuk bintang utama, Babar Azam dan Mohammad Rizwan serta bekas pemain Shahid Afridi dan Wasim Akram.
Ketegangan yang memuncak antara dua jiran Asia Selatan itu turut menyebabkan lambakan maklumat palsu dalam talian.
Terdapat juga pengguna media sosial menyebarkan pelbagai kandungan daripada video ‘deepfake’ hingga gambar lama dari konflik lain yang dikaitkan secara salah dengan serangan India. – AFP