KUALA LUMPUR, 20 November- Susulan video tular mengenai seorang guru besar yang terpaksa tinggal di dalam bilik stor sekolah gara-gara tidak memiliki kediaman di di SK Ulu Ansuan, Telupid, Sabah.
Kementerian Pendidikan (KPM) pantas mengeluarkan kenyataan memaklumkan kemudahan di sekolah tersebut akan ditambah baik demi kesejahteraan seluruh warga sekolah berkenaan.
Malah, kerja-kerja pembinaan melibatkan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.
Selain itu, KPM berkata pembinaan empat unit kuarters baharu di SK Ulu Ansuan juga telah diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2024.
“Kesemua projek penambahbaikan dan kemudahan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.
Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah itu pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, KPM terus bertekad untuk menambah baik kemudahan di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.
Baru-baru ini, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di Telupid, George Odol mendedahkan pengalamannya tinggal dalam stor prasekolah dengan keluasan 13.4 meter persegi selama lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah itu.
Dia yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini, ditugaskan di sekolah itu pada 2020.
Bagaimanapun, Cikgu George mengakui sedikit pun tidak kesal walau terpaksa mengorbankan keselesaan menetap di kawasan pekan atau di bandar untuk datang ke sekolah pedalaman demi mendidik anak bangsa.





