Lelaki Ditemukan Maut Tersangkut Di Dahan Pokok Dokong

0
808
Foto: Sinar Harian

JERTIH, 6 Oktober- Keresahan seorang isteri terhadap suaminya yang tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun akhirnya terjawab apabila ditemukan maut tersangkut di dahan pokok.

Mayatnya ditemukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada ketinggian kira-kira enam meter di atas pokok dokong di Kampung Dusun Beliku, Hulu Besut, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata mangsa Saari Ghani, 53, kira-kira pukul 5 petang, dan didapati telah meninggal dunia dipercayai akibat leher mangsa tersangkut di celah dahan pokok dokong.

“Lokasi kejadian kira-kira 200 meter di dalam kebun belakang rumah mangsa. Anggota bomba memanjat pokok itu dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM ) dan penduduk kampung, bagi menurunkan mangsa dari pokok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rozak berkata kira-kira pukul 9 pagi kelmarin, mangsa telah memberitahu isterinya Normah Siling, 53, bahawa dia hendak pergi memetik buah-buahan di kebun berkenaan, namun isteri mangsa mula berasa bimbang apabila mendapati beliau tidak pulang ke rumah, walaupun sehingga 7 malam.

“Setelah suaminya tidak pulang, Normah meminta saudaranya keluar mencari namun tidak menemukan mangsa,” katanya.

Isteri mangsa kemudian membuat laporan polis dan susulan itu operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan membabitkan polis, JBPM, APM dan penduduk kampung.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan siasatan awal polis mendapati tidak berlaku sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here