PASIR PUTEH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 22,002 naskhah al-Quran tanpa perakuan, rosak dan lusuh menerusi 350 Program Jom Exchange Al-Quran (Jeq) di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Shafril Azmi Shaharin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,311 naskhah didapati tiada perakuan KDN manakala 14,691 lagi merupakan naskhah yang rosak atau lusuh.
Katanya, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan KDN dalam memastikan naskhah al-Quran dikendali dan dilupuskan mengikut hukum syarak serta undang-undang ditetapkan.
“Program Jeq bukan sahaja menjadi medium pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menggunakan naskhah al-Quran yang mempunyai perakuan KDN, tetapi turut menyediakan platform untuk orang ramai menukar naskhah lama atau rosak dengan naskhah baharu yang diluluskan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN.
“Sebanyak 2.5 tan abu al-Quran berjaya diproses di Kelantan untuk tujuan pelupusan melalui inisiatif berkenaan. Abu itu dilupuskan mengikut ketetapan hukum syarak sebagai sebahagian daripada usaha memastikan al-Quran yang rosak, tidak lengkap atau tidak mempunyai perakuan sah dikendalikan secara tertib dan penuh penghormatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pemurnian Abu Al-Quran 2026 di Perairan Tok Bali di sini hari ini.
Program tersebut merupakan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Kelantan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan.
Shafril Azmi memberitahu, orang ramai, pengimport, penerbit dan penjual diingatkan supaya mematuhi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
Sumber – KOSMO! ONLINE





