Lagi Gangguan Bekalan Air Di Beberapa Kawasan Di Johor

0
349
Foto: mStar

JOHOR BAHRU: Syarikat pengendali air di negeri ini, Ranhill SAJ digesa mengambil tindakan proaktif dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan ke tahap maksimum bagi mengelak isu gangguan bekalan air berulang pada musim perayaan.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap aduan berhubung masalah itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Ranhill SAJ perlu membuat persediaan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.

Beliau berkata Ranhill SAJ telah memberikan komitmen untuk memastikan tiada isu gangguan bekalan air mahupun catuan air di Johor sepanjang musim perayaan ini.

“Namun demikian, berdasarkan aduan diterima telah menimbulkan persoalan berhubung keupayaan Ranhill SAJ selaku operator bekalan air di Johor dalam menangani gangguan bekalan air yang berlaku saban tahun.

“Kerajaan negeri menggesa pihak Ranhill SAJ untuk segera menangani setiap aduan gangguan bekalan air dialami Bangsa Johor.

“Pihak Ranhill SAJ sewajarnya perlu mengambil tindakan yang proaktif dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan ke tahap maksimum demi kesejahteraan Bangsa Johor.

“Gangguan bekalan air yang berlaku setiap tahun ini pastinya menjejaskan persiapan menyambut Aidilfitri buat Bangsa Johor,” katanya dalam hantaran di media sosial di sini, hari ini.

Jumaat lalu media melaporkan lebih 1,000 penduduk di Kulai terjejas ekoran gangguan bekalan air.

Antara kawasan terjejas ialah Murni Jaya, Kampung Sri Muar dan Felda Bukit Permai.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here