Kuala Lumpur: Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diterajui oleh Kementerian Pertahanan menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh kesejahteraan hidup warga tentera serta keluarga mereka.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi komuniti tentera dengan penekanan terhadap pemerkasaan isteri warga tentera melalui penglibatan aktif Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
Konsep utama yang diterapkan dalam program ini adalah menerusi pemindahan ilmu bagi memperkasa ahli BAKAT menerusi tiga komponen utama, iaitu perkongsian ilmu oleh pakar dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), latihan praktikal secara langsung serta penerapan elemen keusahawanan untuk meningkatkan kemandirian ekonomi keluarga selain menyokong aspirasi Malaysia MADANI.
Melalui pelaksanaan program ini, para peserta berpeluang memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sebagai panduan untuk menjana pendapatan, meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan keluarga yang lebih mampan.


Program Ekonomi MADANI ATM Bejaya Menjana Pendapatan Pertama
Program Ekonomi MADANI ATM, yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti kem tentera, telah diperuntukkan RM10 juta pada tahun 2025. Program perintis ini akan melibatkan 96 projek di 60 kem tentera di seluruh negara.
Seramai 1,265 ahli BAKAT terlibat dalam pelaksanaan program ini, dengan potensi untuk menjana pendapatan bulanan antara RM900 hingga RM2,300, bergantung kepada jenis projek yang mereka jalankan.
Kini, projek penanaman cendawan tiram di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang telah terbukti berjaya, menjana pendapatan kira-kira RM5,200. Kejayaan ini menyerlahkan potensi program tersebut sebagai inisiatif penjanaan ekonomi yang mampan di bawah projek-projek yang kini mula menampakkan hasil pelaksanaannya.
Kerjasama Strategik Menyasarkan Pemindahan Ilmu Pakar
Pelaksanaan Program Ekonomi MADANI ATM dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan bersama Universiti Awam (UA) yang menyediakan kepakaran dan bimbingan teknikal, serta Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang berperanan sebagai platform pemasaran.
Antara ilmu yang dikongsikan oleh pakar dari universiti merangkumi kaedah pertanian moden seperti hidroponik sifar karbon pintar, cendawan urban farming, madu kelulut, fertigasi sayuran, halia Bentong dan akuaponik, selaras dengan pendekatan berteknologi serta berorientasikan komersial.
Pendekatan kolaboratif ini memastikan setiap projek dilaksanakan secara praktikal, berimpak tinggi serta mempunyai nilai komersial yang berdaya maju dan mampan.

Memperluas Inisiatif ke 30 Kem Tentera Lain Bagi Tahun 2026
Bagi tahun 2026, Program Ekonomi MADANI ATM akan diperluas secara berfasa ke lebih banyak kem tentera agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai warga ATM dan keluarga mereka.
Kementerian Pertahanan turut menitikberatkan aspek kelestarian pelaksanaan program, peningkatan kompetensi komuniti kem serta pemerkasaan peserta melalui sokongan akses pasaran yang berterusan.
Seiring dengan keberkesanan pelaksanaan serta komitmen berterusan semua pihak, Program Ekonomi MADANI ATM dijangka terus memberi impak positif dalam memperkukuh kesejahteraan dan taraf hidup keluarga tentera, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang lebih mampan.





