KUALA TERENGGANU, 15 November – Sebanyak 228 karkas babi yang tidak disembelih di rumah sembelihan berlesen, membabitkan nilai keseluruhan RM396,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu pada 9 November lalu.
Pengarah JPV Terengganu, Dr. Anun Man berkata rampasan seberat 9,120 kilogram itu dilakukan di Bandar Permaisuri, Setiu.
Belau berkata, rampasan turut membabitkan dua kotak organ babi dan pihaknya telah menahan dua indvidu iaitu pemandu dan kelindan kontena yang membawa karkas tersebut.
“Kesemua daging berkenaan dikatakan disembelih di rumah sembelihan JPV namun hasil perbandingan pada cop yang ada di karkas dan di rumah sembelihan JPV adalah tidak sepadan.
“Memiliki apa-apa karkas, apa-apa binatang yang tidak disembelih di rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh JPV. Jika sabit kesalahan adalah tidak melebihi RM10,000.
Dr. Anun berkata, JPV amat mengambil berat kesalahan penyeludupan apa-apa karkas binatang yang tidak disembelih di rumah sembelihan yang dilesenkan JPV.
Apalagi selepas penularan wabak Demam Babi Afrika, katanya.
Tambah beliau, penguatkuasa JPV Terengganu telah membuat risikan selama hampir sebulan susulan kes rampasan yang sama berlaku di Kelantan dan Lembah Klang.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan karkas berkenaan dibawa masuk secara haram dari negara jiran untuk dihantar ke Kuantan, Pahang.