IPOH, 27 November- Sebanyak 2.5 juta batang rokok putih bernilai lebih RM2.1 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di Pantai Remis dan Sitiawan, Khamis lepas.
Ia juga merupakan rampasan terbesar di negeri itu tahun ini.
Pengarah JKDM Perak Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata serbuan tersebut adalah hasil risikan dan intipan selama seminggu pihaknya.
“Dalam serbuan yang dibuat pada pukul 1.30 tengah hari itu JKDM menemukan rokok putih dan kretek pelbagai jenama disyaki diseludup masuk melalui jalan laut dan disimpan di dalam premis kediaman.
“Risikan JKDM di sebuah rumah teres dua tingkat di Sitiawan yang berpagar dan mempunyai pengawal mendapati premis yang dijadikan stor simpanan rokok itu tidak berpenghuni,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Perak hari ini.
Abdul Ghafar berkata serbuan kedua dilakukan pada hari sama di sebuah premis terbiar di Pantai Remis dan telah menemukan sebanyak 127,200 batang rokok putih dan kretek dengan nilai lebih RM100,000 yang diletakkan di ruang tamu rumah terbabit.
“Kebanyakan rokok yang diseludup dibawa masuk melalui laut dari Vietnam dan disimpan di rumah terbabit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kesemua kotak berisi rokok dibalut dengan plastik bagi mengelakkan ia daripada basah dan tiada tangkapan dibuat, malah kami masih mengesan pemilik premis terbabit untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jelas Abdul Ghafar, pemilik premis atau penyewa premis tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati bersubahat membenarkan premis mereka digunakan untuk menyimpan rokok tidak sah.





