Petaling Jaya: DIPERCAYAI ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, yang telah dibawa ke kediaman mereka di Damansara Damai di sini, dipercayai bagi melakonkan semula kejadian yang menyebabkan kanak-kanak tersebut dibunuh.
Wartawan yang berada di lokasi mendapati suspek tiba kira-kira jam 10.15 pagi menaiki van putih menuju ke blok R di kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai.
Difahamkan, suspek akan dibawa semula ke kediaman dan lokasi tempat kanak-kanak tersebut ditemukan, iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman, bagi melakonkan semula kejadian.
Anggota polis turut dilihat membawa patung kanak-kanak, namun tujuan penggunaan patung tersebut masih belum dapat dipastikan. Pada Jumaat lalu, polis telah melanjutkan tempoh reman terhadap ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap mereka berdua.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata bahawa pasangan tersebut akan direman selama enam hari sehingga 13 Jun ini.
Mahkamah Majistret di sini sebelum ini membenarkan reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan. Pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di sekitar Puncak Alam pada 31 Mei lalu.
Terdahulu, Zayn Rayyan telah dibunuh dengan kejam sehingga menyebabkan mangsa ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi di sekitar anak sungai berdekatan dengan kawasan kediaman mereka di Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam. Mayat mangsa ditemukan oleh penduduk setempat.
Sumber: Harian Metro