Hasil Risikan Imigresen Berjaya Bongkar Sindiket Pengemis Di KL

0
675

KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan menjalankan risikan, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur berjaya membongkar sindiket pengemis yang didalangi warga Pakistan yang mempergunakan kanak-kanak dan wanita.

Serbuan dijalankan sekitar jam 9 malam tadi di sebuah rumah kedai di Jalan Sultan Azlan Shah menerusi Operasi Selamat (Op Selamat).

Wartawan BH yang mengikuti serbuan itu mendapati sindiket tersebut beroperasi di sebalik tiga perniagaan: kedai aksesori telefon, kedai dobi, dan kedai gunting rambut.

Difahamkan, sindiket ini juga mengeksploitasi kanak-kanak untuk aktiviti mengemis, di mana kanak-kanak tersebut dibawa oleh pengemis dewasa untuk mengemis di sekitar Jalan Chow Kit, Masjid India, dan Jalan Sentul bagi meraih simpati daripada orang awam.

Kanak-kanak tersebut dikatakan dihantar oleh sindiket ke lokasi mengemis seawal jam 8 pagi dan hanya dibawa pulang antara jam 8 hingga 11 malam.

Namun, yang lebih mengejutkan, kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengemis itu disyaki diberi ubat batuk agar mereka tidur dan tidak aktif semasa dibawa untuk mengemis.

Bilik-bilik sewa yang terletak di tingkat dua bangunan rumah kedai empat tingkat tersebut dipercayai digunakan sebagai penempatan oleh sindiket untuk warga asing yang disyaki berasal dari Pakistan, Indonesia, dan India.

Mereka dikenakan kadar sewa RM800 sebulan, dan setiap bilik kecil tersebut dihuni oleh kira-kira lapan orang termasuk kanak-kanak.

Selain itu, serbuan ini juga berjaya membongkar kegiatan sindiket dalam menghasilkan pasport palsu selepas pemeriksaan Imigresen di ruang pejabat dalam kedai menjual aksesori telefon menemukan puluhan pasport asing dengan cop yang disyaki palsu.

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, serbuan tersebut adalah hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan yang dijalankan sejak awal Januari lalu.

Beliau menyatakan bahawa seramai 80 individu, termasuk seorang lelaki tempatan dan selebihnya warga asing berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun, ditahan dalam operasi yang berakhir pada jam 12 malam itu.

“Daripada jumlah tersebut, 77 adalah warga Pakistan, terdiri daripada 44 lelaki dan 22 wanita dewasa, serta empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

“Selebihnya terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang wanita Indonesia, dan seorang wanita India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk proses lanjut, dan siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Pasport 1966 (Akta 150).

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here