‘Datuk Seri’ Palsu Kena Penjara Dua Tahun

0
225
Foto: Sinar Harian

KOTA TINGGI, 10 Oktober- Seorang penganggur dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri palsu di Bandar Penawar, lima tahun lalu.

Pengakuan tersebut dibuat tertuduh, Imran Tolot, 50 tahun dihadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh, yang tidak bekerja itu didakwa menggunakan gelaran tersebut, tanpa kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang.

Perbuatan itu dilakukan pada 19 April 2018 kira-kira jam11 pagi di Hotel Amansari Bandar Penawar.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) dibaca bersama Seksyen 17 akta kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Imran memohon kepada mahkamah agar memberikan hukuman yang minimum kerana mempunyai tiga anak yang masih bersekolah selain menghidap kencing manis dan urat saraf yang boleh menyebabkan lumpuh.

Dia turut merayu tidak mengenakan hukuman denda kerana tidak memiliki wang kerana tidak bekerja selain memberikan hukuman penjara minimum.

Bagaimanapun, jelas Muhammad Irsyad, kesalahan dilakukan tertuduh menyalahgunakan gelaran palsu itu telah mencemarkan nama Institusi Kesultanan Pahang jika tidak dicegah kesalahan sama boleh diulang orang lain.

Hakim kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama dua tahun bermula tarikh tangkapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here