Budayakan Adab Berbeza Pendapat, Jangan Label Pemimpin Lain ‘Munafik’

0
669
Foto: Utusan Malaysia

PUTRAJAYA, 8 Disember- Umat Islam diingatkan supaya tidak terjebak dengan perbuatan melabel individu atau pemimpin politik tertentu dengan gelaran kafir, fasik atau munafik tanpa bersandarkan kepada bukti dan hujah yang kukuh.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya meluahkan rasa kesal berhubung sebuah artikel oleh seorang individu yang menggunakan label ‘munafik’.

“Saya menerima aduan dan keluhan berkaitan sebuah artikel oleh seorang pemimpin daripada sebuah parti politik baru-baru ini yang didapati kandungannya keterlaluan apabila menggunakan label ‘munafik’ sebagai bandingan pada ketidaksetujuan beliau terhadap beberapa kaedah dan tatacara urus tadbir kenegaraan semasa.

“Sesungguhnya perbuatan memberi label sedemikian amat mendukacitakan kerana ia boleh mewujudkan kekeliruan dalam kefahaman masyarakat dan menimbulkan bibit-bibit perpecahan serta permusuhan agama antara sesama umat Islam.

“Saya ingin mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dan terlibat dengan usaha pembudayaan perbuatan melabel oleh sesetengah individu dan pemimpin politik tertentu kerana ia berbahaya serta menyalahi hukum syarak.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru para pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dalam memelihara keutuhan perpaduan ummah dan hendaklah membudayakan adab berbeza pendapat menerusi pendekatan dialog dan perbincangan secara harmoni bagi meleraikan sebarang perbedaan dalam kaedah dan pendekatan urustadbir kenegaraan semasa,”menurutnya dalam hantaran tersebut.

Menurut Dr. Mohd Na’im, seluruh umat Islam dinasihatkan agar menghayati nilai ajaran agama yang melarang dan menegah perbuatan menuduh seseorang Muslim yang lain dengan gelaran kafir, fasik atau munafik tanpa bersandarkan kepada bukti dan hujah yang kukuh.

“Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar R.A bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda bahawa: “Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu. Riwayat al-Bukhari (6045),” tambahnya dalam hantaran tersebut.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here