SERDANG: Gara-gara berang ditegur pihak polis kerana tidak memakai topi keledar, dua remaja lelaki disyaki membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kedua-dua suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada jam 4 petang.
Semakan dilakukan mendapati seorang daripada suspek adalah pelajar, manakala suspek kedua adalah penganggur.
Polis turut merampas serpihan batu atau pasu yang digunakan bagi tujuan khianat tersebut.
“Ia termasuk kes khianat terhadap pagar Balai Polis Serdang yang dipercayai dilakukan oleh dua suspek terbabit pada hari sama,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Anbalagan berkata, pihaknya turut merampas pakaian yang dipakai oleh kedua-duanya pada hari kejadian.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.
Sumber: Kosmo





