Thursday, May 14, 2026
HomeBERITABekalan Minyak April-Mei Terkawal – Perdana Menteri

Bekalan Minyak April-Mei Terkawal – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api bagi bulan ini dan Mei berada dalam keadaan terkawal meskipun berdepan beberapa cabaran logistik melibatkan pengangkutan kapal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan terkini yang dibentangkan oleh pihak Petronas menunjukkan sebahagian besar kapal penghantaran berjaya meneruskan perjalanan mengikut jadual.

Katanya, daripada keseluruhan kapal yang terlibat, enam daripadanya bergerak lancar, manakala dua lagi masing-masing hampir tiba dan telah melepasi laluan ditetapkan.

“Cuma satu kapal kita mengalami kerosakan dan tersadai di pelabuhan, namun secara keseluruhannya bekalan minyak masih dalam keadaan sangat terkawal,” katanya pada sidang akhbar selepas solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Kampung Cheras, Pandan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan menteri berkaitan bagi memantau keperluan tenaga negara secara menyeluruh.

Jelasnya, perkembangan semasa akan dipantau secara harian oleh Jemaah Menteri bagi memastikan kestabilan bekalan terus terjamin dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Mengulas isu harga bahan api, beliau menegaskan, kerajaan berusaha mempertahankan harga petrol RON95 walaupun berdepan tekanan kewangan.

“Walaupun ia sedikit membebankan kerajaan, langkah ini penting bagi mengurangkan beban rakyat,” ujarnya.

Beliau menyeru orang ramai supaya menggunakan bahan api secara berhemah dan mengelakkan pembaziran sebagai tanggungjawab bersama dalam membantu ekonomi negara.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan subsidi diesel bagi mengelakkan tekanan terhadap golongan tertentu termasuk peladang, petani dan nelayan.

Tambah beliau, beberapa kementerian sedang meneliti langkah bersesuaian bagi membantu sektor lain yang turut terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kasihan, Orang Tak Tahu Kak Jee Ada Asma Yang Teruk’ –...

0
PETALING JAYA – “Orang tak tahu dia ada asma yang teruk. Tapi saya tak tahu kenapa Kak Jee tidak pernah cakap benda ini.” Demikian perkongsian...

CATEGORIES