Friday, July 24, 2026
HomeBERITAASEAN Capai Langkah Positif Selesai Konflik Myanmar di Bawah Kepengerusian Malaysia -...

ASEAN Capai Langkah Positif Selesai Konflik Myanmar di Bawah Kepengerusian Malaysia – Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia berjaya mencapai beberapa langkah positif dalam usaha menyelesaikan konflik di Myanmar.

Perdana Menteri berkata langkah positif itu dilakar menerusi penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi untuk Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 yang diketuai bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra.

Beliau berkata, pertemuan turut diadakan di Brunei yang diserikan dengan kehadiran Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Sejak mesyuarat ketiga di di Bangkok, kita mencatat kemajuan dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar dan pertemuan seterusnya akan dianjurkan bekas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen.

“Saya ingin menegaskan bahawa sepanjang proses ini, libat urus secara senyap amat bermakna.

“Langkah yang diambil mungkin kecil dan jambatan yang dibina mungkin rapuh, tetapi dalam hal-hal berkaitan keamanan, jambatan yang rapuh tetap lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini.

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pembukaan ketika Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini. - BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pembukaan ketika Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini. – BERNAMA

 

Pada 17 April lalu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok, yang turut dihadiri Thaksin.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat secara maya dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ke arah menyelesaikan konflik di negara itu.

Sejak rampasan kuasa oleh junta tentera pada 1 Februari 2021, Myanmar dibelenggu pergolakan politik yang meruncing, mencetuskan tindakan keganasan yang mengorbankan nyawa ribuan rakyatnya dan krisis kemanusiaan yang meluas.

Kerajaan yang dipilih secara demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi dan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) digulingkan, mencetuskan protes besar-besaran, hingga menyebabkan lebih 5,000 orang awam terbunuh, lebih 3.3 juta kehilangan tempat tinggal dan 118,000 pelarian berada di negara jiran.

Sebagai tindak balas, NUG ditubuhkan merangkumi bekas Ahli Parlimen dan aktivis demokrasi, yang membentuk pasukan tentera sendiri, iaitu Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF) dan bekerjasama dengan kumpulan etnik bersenjata seperti Kachin, Karen serta Chin untuk menentang pemerintah junta tentera.

Selain itu, krisis kemanusiaan juga berlaku dengan penghapusan etnik dialami penduduk Rohingya, diburukkan lagi dengan bencana gempa bumi berukuran 7.7 magnitud di negara itu pada 28 Mac lalu, yang mengorbankan lebih 5,300 nyawa.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Itu Adalah Yang Pertama Dan Terakhir Saya Bawakan Bila Kau Tiada’

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, 32, mengakui tidak mudah untuk dia membawakan lagu Bila Kau Tiada yang dihasilkan olehnya sekitar empat tahun lalu. Menurut Syamel atau...

CATEGORIES