Pengkalan Chepa, Kelantan, 16 Mei 2026 – AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd. (ARIM) hari ini melaksanakan inisiatif jalinan komuniti “Lentera Kasih ARIM” bagi menyantuni golongan warga emas, di Rumah Seri Kenangan Pengkalan Chepa.


Di antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi ramah mesra, program riadah dan mewarna batik di antara 30 sukarelawan warga kerja ARIM bersama penghuni dan penjaga warga emas rumah tersebut. Selain itu, ARIM juga telah menyalurkan sumbangan keseluruhan bernilai RM42,280.00 bagi menyokong keperluan dan kebajikan melibatkan 113 penghuni warga emas.
Mohd Razlan Mohamed, Pengerusi ARIM, dalam ucapan aluannya berkata, “Lentera Kasih ARIM ini bukan sekadar sebuah program CSR, tetapi platform untuk ARIM mendekati komuniti secara lebih dekat dan bermakna. Kami percaya bahawa kelestarian bukan sahaja merangkumi kesinambungan perniagaan, tetapi juga perlu seiring dengan tanggungjawab sosial. Justeru, ARIM komited untuk terus memperluaskan inisiatif seperti ini agar lebih banyak komuniti dapat menerima manfaatnya.”


Tambah beliau, ARIM percaya bahawa sokongan yang bermakna bukan hanya terletak pada sumbangan material, tetapi juga melalui kehadiran, perhatian dan hubungan yang dibina bersama komuniti. Adalah diharapkan agar program ini dapat membawa kegembiraan kepada para penghuni, di samping menghargai pengalaman dan kisah hidup yang dikongsikan bersama.
Program ini turut menerima kunjungan wakil kepada Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Negeri Kelantan, iaitu Anuar bin Che Mahmood, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian OKU dan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan.





