Thursday, August 20, 2026
HomeBERITAAnwar Tegas Malaysia Kekal Bebrpegang Pada Dasar Satu China

Anwar Tegas Malaysia Kekal Bebrpegang Pada Dasar Satu China

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian berhubung Dasar Satu China yang telah diamalkan sejak era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu kekal meskipun kenyataannya mengenai Taiwan dalam wawancara bersama Al Jazeera baru-baru ini menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

“Dasar Satu China telah diamalkan sejak zaman Tun Abdul Razak. Pada pandangan saya, dasar itu kekal dan kita akan terus mempertahankannya.

“Sudah tentu kita mahu mencari jalan damai apabila boleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata, kenyataannya berhubung Taiwan dibuat berdasarkan pendirian konsisten mengenai prinsip integriti wilayah sesebuah negara.

Menurut beliau, pendirian itu turut selari dengan pendekatan yang diamalkan Amerika Syarikat yang tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah selepas Perang Kemerdekaan Amerika.

“Saya percaya pendirian itu adalah betul. Amerika Syarikat sendiri melalui Perang Kemerdekaan Amerika dan tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah.

“Jadi saya hanya mengambil pendirian yang konsisten,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia menghormati pendirian China berhubung isu Taiwan namun berpandangan penyelesaian secara aman merupakan pendekatan terbaik bagi menangani sebarang pertikaian.

Anwar berkata, pendirian Malaysia itu juga selaras dengan pengiktirafan antarabangsa terhadap Dasar Satu China yang diterima di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“China diiktiraf sebagai satu negara manakala satu lagi dirujuk sebagai Taiwan. Jadi apa yang saya nyatakan bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan cara isu berkenaan diketengahkan dalam wawancara tersebut menjadi antara faktor yang mencetuskan kritikan.

“Mungkin cara soalan itu ditanya atau diketengahkan oleh Al Jazeera yang menimbulkan kritikan tersebut,” katanya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Dia Sudah Minta Maaf, Janji Takkan Ulangi Lagi’ – Fasha Sandha

0
PETALING JAYA – Pelakon terkenal, Fasha Sandha mendedahkan sudah berdamai dengan pelakon yang didakwa datang lambat ke set penggambaran baru-baru ini. Menurut Fasha atau nama...

CATEGORIES