PULAU PINANG – Angsana Teluk Bahang Penang dengan kerjasama Aquaria KLCC dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melancarkan Pusat Pendidikan Marin atau Marine Education Centre (MEC), sebagai pusat kesedaran, pemuliharaan dan pelancongan marin mampan.
Penubuhan pusat berkenaan merupakan kesinambungan kepada usaha pemuliharaan penyu di Pulau Pinang. Pada 2023, penyu Lipas kembali bertelur di Teluk Bahang selepas hampir dua dekad.
Perkembangan itu membawa kepada pengiktirafan kawasan pantai Angsana sebagai Pantai Mesra Penyu pada 2024 menerusi memorandum persefahaman antara Jabatan Perikanan Malaysia dan Aquaria KLCC.
Inisiatif tersebut turut mendapat panduan saintifik daripada Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sekali gus membuka laluan kepada penubuhan Pusat Pendidikan Marin di Angsana Teluk Bahang.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan Hussain bersama wakil agensi kerajaan, media dan rakan industri.
Menurut Adnan, penubuhan pusat itu meningkatkan peranan Pantai Mesra Penyu daripada sebuah kawasan perlindungan kepada model penanda aras bagi ekopelancongan dan pengurusan marin di seluruh negara.
“Jabatan Perikanan kekal komited terhadap kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta seperti ini, dengan pendekatan pemuliharaan berasaskan sains bagi melindungi khazanah marin Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program pelancaran, tetamu dibawa melawat Pusat Pendidikan Marin oleh pasukan Aquaria KLCC yang mengetengahkan galeri pameran, tangki pameran interaktif dan makmal terbuka.
Tetamu turut menyertai lawatan ke pusat penetasan dan bilik darjah terbuka yang dikendalikan oleh Penasihat Projek, Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli.
Lawatan itu memberikan penerangan mengenai inisiatif pemuliharaan yang dijalankan serta kemudahan pembelajaran secara praktikal yang disediakan.
Program berkenaan turut menampilkan demonstrasi interaktif pengawetan spesimen bagi menunjukkan peranan spesimen yang diawet dalam menyokong pendidikan dan penyelidikan marin.
Pusat Pendidikan Marin itu dilengkapi spesimen terawet, tangki pameran interaktif, pameran obor-obor, makmal terbuka, bilik darjah luar serta pusat penetasan penyu.
Kemudahan tersebut dibangunkan bagi menggalakkan aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaan marin.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aquawalk Sdn Bhd, Dato’ Simon Foong berkata, Aquaria KLCC berbangga dapat bekerjasama dengan Angsana Teluk Bahang dalam memperkukuh usaha menjaga lautan secara praktikal di kawasan pendaratan penyu berkenaan.
Menurutnya, pusat itu menggabungkan penyelidikan dan pembelajaran dengan bimbingan penyelidik daripada UMT, sekali gus berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan marin di Pulau Pinang.
Pengurus Besar Angsana Teluk Bahang Penang, Nantha Kumar berkata, penubuhan Pusat Pendidikan Marin merupakan satu perkembangan membanggakan bagi pihak resort berkenaan.
“Kami berbesar hati menyediakan lokasi bagi inisiatif penting ini yang disokong oleh kepakaran Universiti Malaysia Terengganu dan Jabatan Perikanan Malaysia.
“Angsana Teluk Bahang komited untuk menjadi bilik darjah hidup yang membuktikan sektor hospitaliti dan pemuliharaan marin mampu berkembang seiring dalam melindungi pesisir pantai Pulau Pinang untuk generasi akan datang,” katanya.
Pusat Pendidikan Marin itu mencerminkan nilai Banyan Group dalam pelancongan bertanggungjawab dan kelestarian.
Pusat tersebut turut mengalu-alukan penyertaan sekolah, universiti dan komuniti dalam aktiviti pendidikan marin serta ekopelancongan.





