Noor Hisam berkata, ujian air kencing awal pemandu itu menunjukkan keputusan negatif, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Pemandu yang kini dalam tahanan polis juga dipercayai mempunyai beberapa saman trafik tertunggak,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Kemalangan maut itu berlaku awal pagi tadi apabila konvoi kenderaan Unit 5 FRU dalam perjalanan pulang dari penugasan kawalan awam di Teluk Intan.
Konvoi tujuh kenderaan itu dalam perjalanan ke pangkalan mereka di Sungai Senam, Ipoh sebelum sebuah lori merempuh trak membawa anggota FRU.
Lapan anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan dan tiga lagi dalam keadaan kritikal.
Noor Hisam berkata, insiden itu adalah kehilangan yang amat menyedihkan bukan saja bagi FRU tetapi juga bagi seluruh pasukan polis.
“Kami memastikan semua proses bedah siasat, pemberitahuan kepada keluarga, dan urusan pengebumian diuruskan dengan penuh hormat.
“Kesemua sembilan pegawai yang terkorban, kecuali seorang dari Kedah, adalah anak jati Perak. Tujuh adalah Muslim, manakala dua bukan Muslim.
“Upacara pengebumian akan dijalankan mengikut agama masing-masing, dengan penghormatan penuh daripada pihak polis,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku selepas konvoi selesai menjalankan tugas di Teluk Intan semalam dan dalam perjalanan pulang ke Sungai Senam, Ipoh.
“Bagi yang cedera, ada yang masih dalam keadaan kritikal di zon merah, manakala yang lain di zon kuning. Tiga sedang dirawat di Hospital Teluk Intan,” katanya.
Ditanya mengenai penugasan di Teluk Intan dan tempoh tugasan, Noor Hisam berkata, segala-galanya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) FRU.
“Tugasan seperti ini biasanya mengambil masa tiga hari. Satu hari untuk perjalanan ke lokasi, satu hari untuk tugas, dan satu hari untuk pulang. Itu adalah protokol standard FRU.
“Tujuh kenderaan terbabit dalam konvoi. sebuah lori, empat trak berat, dan dua Land Rover. Kenderaan yang terbabit ialah yang kelima dalam barisan, salah satu trak kargo yang membawa peralatan… sebab itu impaknya teruk dan menyebabkan kematian,” katanya.
Sumber – Harian Metro