RAUB, 4 Oktober- Seorang lelaki dikenakan denda RM50,000 selepas mengaku bersalah melombong emas secara haram di Hutan Simpan Kekal Kechau dalam daerah Lipis, dekat sini, Mac lepas.
Jika gagal menjelaskan denda, Liew Lok Shong, 59 turut diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan.
Pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Raub itu, Hakim Ahmad Faizadh Yahaya turut mengarahkan sebuah jengkaut dan enjin air yang disita Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada hari kejadian dilucut hak kepada kerajaan negeri.
Liew didakwa melakukan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah di hutan tersebut pada 12.40 tengah malam, 10 Mac lepas.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbuatan melombong emas yang dilakukan tertuduh terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan UPNP menemukan sebuah jengkaut dan enjin air ditinggalkan dalam keadaan masih beroperasi, selepas individu di situ menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Liew kemudiannya menuntut dan mengaku sebagai pemilik jengkaut tersebut.
Ujian sampel jenis mineral yang diambil di lokasi tersebut oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesahkan ia mengandungi emas.
Sementara pemeriksaan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan di kawasan itu.
Pada prosiding hari ini, Liew yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan atas alasan dia kini bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan RM3,500, selain telah insaf.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa UPNP Taqiuddin Azizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan sama.
“Kes perlombongan haram menyebabkan berlaku ketirisan hasil yang tinggi kepada kerajaan negeri dan lebih teruk lagi ia mengganggu kelestarian alam sekitar,” katanya.





