JOHOR BAHRU – Pasangan kekasih berusia 21 dan 20 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal pagi tadi kerana disyaki melakukan persetubuhan luar nikah sehingga melahirkan seorang bayi.
JAINJ dalam kenyataannya, berkata pasangan itu ditahan dalam pemeriksaan terhadap unit pangsapuri di Bandar Baru Uda, kira-kira 1.50 pagi.
Pemeriksaan itu selepas pihaknya menerima aduan awam.
“Ketika pemeriksaan, penguat kuasa menemukan seorang bayi sedang tidur atas alas lantai kediaman berkenaan.
“Pasangan itu mengaku bayi berkenaan adalah anak hasil hubungan mereka meskipun tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, lelaki itu yang masih bujang berasal dan bekerja di daerah ini, manakala wanita berkenaan berasal dari Muar.
Katanya, siasatan mendapati pasangan itu menyewa kediaman berkenaan dengan kadar RM800 sebulan, dan tinggal bersama seperti suami isteri sejak kira-kira setahun lalu.
“Ketika disoal mengenai perancangan untuk berkahwin, kedua-duanya mengakui mempunyai hasrat berbuat demikian, namun belum menetapkan tarikh atau membuat sebarang persediaan.
“Mereka dipercayai mengambil keputusan tinggal bersama terlebih dahulu tanpa ikatan perkahwinan, sebelum hubungan itu membawa kepada kelahiran seorang anak,” katanya.
Menurut jabatan itu, pasangan berkenaan kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 berkaitan kesalahan persetubuhan luar nikah.
Sumber – Berita Harian





