KUALA LUMPUR – 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dijangka berdepan tambahan kos kakitangan sebanyak RM19.3 juta pada tahun kewangan 2027 susulan pelaksanaan kenaikan gaji minimum yang dijadualkan bermula 1 Jun 2027.
Penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin, berkata anggaran itu berdasarkan kenaikan purata gaji sebanyak RM250 sebulan bagi kira-kira 11,000 pekerja kumpulan berkenaan yang terbabit dengan pelaksanaan dasar itu.
Beliau berkata, jumlah pekerja terbabit mewakili kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja 7-Eleven, dengan tambahan kos itu dianggarkan mencecah RM33 juta secara tahunan.
Katanya, peningkatan itu berpotensi menambah perbelanjaan operasi kumpulan sebanyak 2.8 peratus pada tahun kewangan 2027, selain risiko kenaikan kos perolehan apabila pembekal memindahkan peningkatan kos logistik dan operasi kepada syarikat.
“Penjimatan kos yang ketara daripada inisiatif rasionalisasi kumpulan masih memerlukan masa untuk direalisasikan sekali gus terus menjadi cabaran kepada prospek pendapatannya,” katanya.
Menurutnya, meskipun 7-Eleven menjangkakan prestasi lebih baik pada tahun kewangan 2027 menerusi pertumbuhan jualan dan inisiatif kecekapan kos, kadar pemulihan margin keuntungan masih tidak menentu.
Dalam perkembangan berkaitan, strategi penetapan harga kompetitif serta penawaran pakej makanan dan minuman membantu meningkatkan kunjungan pelanggan ke rangkaian kedainya.
“Semakan firma penyelidikan mendapati 7-Eleven menawarkan antara harga terendah bagi beberapa produk utama termasuk sandwic telur dan kopi Americano, manakala pengembangan rangkaian CAFé turut meningkatkan nilai purata pembelian pelanggan kepada RM9.30 pada suku ketiga 2026 berbanding RM8.50 dalam tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Lik Hsin berkata, kira-kira 80 peratus pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sebanyak 11 peratus pada suku ketiga 2026 disumbangkan peningkatan nilai purata pembelian, manakala baki 20 peratus berpunca daripada pertumbuhan transaksi organik.
Bagaimanapun, beliau berpandangan peningkatan keuntungan bersih teras (CNP) sebanyak 86.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026 sebahagian besarnya dipengaruhi asas perbandingan rendah dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“Keuntungan bersih teras kumpulan turut susut 10.4 peratus berbanding suku sebelumnya manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot 13.3 peratus suku ke suku, mencerminkan tekanan terhadap keuntungan susulan peningkatan perbelanjaan operasi,” katanya.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘kurangkan’ saham 7-Eleven, selain menurunkan harga sasaran kepada RM1.05 daripada RM1.13.
Firma penyelidikan itu turut menyemak turun unjuran keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 2.6 hingga 10.9 peratus, mengambil kira tekanan perbelanjaan operasi berterusan, peningkatan kos kakitangan dan kemungkinan kenaikan kos daripada pembekal.
Sumber – Berita Harian





