KUALA LUMPUR – Pengecualian visa kepada warga negara India bagi tempoh keberadaan selama 30 hari di negara ini untuk tujuan lawatan sosial jangka pendek akan ditamatkan pada 31 Disember ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, penamatan inisiatif yang dilaksanakan di bawah Pelan Liberalisasi Visa itu bertujuan mengukuhkan saringan pra ketibaan dan memastikan kawalan kemasukan yang lebih teratur bagi warga asing ke negara ini.
“Ia adalah antara pendekatan kawalan imigresen dan penguatkuasaan secara menyeluruh yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN), merangkumi tiga peringkat utama, iaitu sebelum kemasukan, semasa kemasukan dan selepas kemasukan warga asing ke Malaysia,” katanya.
Saifuddin berkata, langkah lain yang dilaksanakan, termasuk penamatan kemudahan Visa Berulang kali (MEV) berkuat kuasa 1 September lalu.
“Ia bagi tujuan lawatan sosial jangka pendek kepada semua negara yang tidak memerlukan visa, termasuk warganegara China.
“Langkah tegas ini bertujuan membendung penyalahgunaan kemudahan perjalanan berulang untuk menjalankan aktiviti pekerjaan atau perniagaan secara haram di negara ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib (PN-Maran) mengenai langkah drastik kerajaan berhubung isu kemasukan dan kebanjiran warga asing yang menyebabkan kesan yang amat negatif kepada pelbagai gejala dan masalah sosial serta jenayah di negara ini.
Malaysia memperkenalkan kemudahan kemasukan tanpa visa kepada warganegara India pada Disember 2023 bagi merancakkan semula sektor pelancongan selepas pandemik COVID-19, yang membolehkan mereka berada di Malaysia sehingga 30 hari tanpa visa.
Selain itu, Saifuddin, berkata KDN turut mewajibkan penggunaan Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC), yang mana pengembara asingperlu mengemukakan maklumat perjalanan secara dalam talian dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan tapisan keselamatan dan mengesan individu berisiko lebih awal.
“Selain itu, pengukuhan sistem pemeriksaan awal penumpang (APSS), yang membolehkan maklumat penumpang dianalisis dan disaring secara automatik sebelum pengembara berlepas ke Malaysia.
“Pengembara yang mempunyai rekod kesalahan imigresen, disenarai hitam atau dikesan mempunyai indikator risiko keselamatan akan ditandakan lebih awal untuk tindakan pemeriksaan lanjut setibanya di pintu masuk,” katanya.
Sumber – Berita Harian





