KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Fauziah Datuk Ahmad Daud berpendapat bahawa perselisihan antara artis tidak seharusnya didedahkan secara terbuka menerusi media sosial, apatah lagi sehingga mengundang perhatian orang ramai.
Fauziah, 64, atau mesra disapa sebagai Ogy, berkata, golongan artis sepatutnya lebih matang dalam menangani masalah sesama sendiri dan tidak membiarkan emosi mendorong mereka mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan maruah pihak lain.
“Terus terang, saya tidak bersetuju perkara itu harus berlaku dalam kalangan artis kerana industri seni sangat kecil. Sebagai artis senior dalam industri seni, nasihat saya kenapa anda harus menjatuhkan maruah dan harga diri dengan kenyataan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada mana-mana pihak? Kamu bergaduh, tapi orang yang membaca semua tepuk tangan dan ia sesuatu yang menyedihkan.
“Bagi saya, artis perlu bertindak matang dan tidak boleh ikut emosi sebab pada kemudian hari nanti, perkongsian itu akan berterusan dan bagaimana dia mahu berdepan dengan anak-anak kelak?,” katanya.
Fauziah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media tayangan filem pendek Diam yang Bergema di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas penggunaan media sosial dalam kalangan penggiat seni, Ogy berkata, beliau sendiri mempunyai media sosial untuk mengikuti perkembangan semasa.
“Kita boleh sahaja menggunakan medium media sosial untuk membuat kandungan yang positif yang boleh mendatangkan keuntungan.
“Banyak benda kita boleh buat di media sosial, tapi kenapa ke arah perkongsian yang negatif? Sebarang perbalahan atau isu peribadi yang berlaku sesama artis tidak perlu buat pendedahan di media sosial dan ia wajar diselesaikan di belakang tabir,” katanya.
Dalam pada itu, Ogy turut mengakui kurang memahami tindakan sebahagian artis muda, khususnya golongan Gen Z, yang memilih untuk membuat pendedahan sehingga sesuatu isu menjadi tular.
“Saya pun tidak faham pemikiran mereka sekarang. Anak saya juga kalangan Gen Z, tapi dia memilih untuk tidak ada akaun media sosial. Saya tidak kawal anak, tapi hormat dengan pendiriannya,” katanya.
Mengenai Diam Yang Bergema, filem pendek ini merupakan sebuah naskhah menyentuh jiwa arahan seniwati tersohor, Fauziah Dato’ Haji Ahmad Daud, hasil olahan skrip oleh Slen Fadzil daripada tulisan asal AB Wahid Nasir.
Diam Yang Bergema mengisahkan pengorbanan seorang ibu tunggal bernama Yam dalam mengharungi liku-liku kehidupan berlatarbelakangkan elemen bahasa isyarat demi menyara dan membahagiakan anak istemewanya, Sufi.
Sumber – Utusan





