Wednesday, November 18, 2026
HomeHIBURANJangan Marah, Aina Sudah Harumkan Nama Negara – Ziana Zain

Jangan Marah, Aina Sudah Harumkan Nama Negara – Ziana Zain

KUALA LUMPUR – Biarpun keputusan di tempat keempat pada Eurovision Song Contest Asia 2026 mengundang rasa terkilan dalam kalangan peminat, penyanyi Datuk Ziana Zain mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu kecewa kerana Aina Abdul sudah memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Malah, Ziana menyifatkan penyertaan Aina dalam pertandingan berprestij itu sebagai satu langkah penting membuka mata dunia terhadap kemampuan penyanyi Malaysia yang memiliki bakat dan kualiti tersendiri.

Katanya, kehebatan vokal Aina tidak perlu dipertikaikan, justeru peminat seharusnya berbangga dengan pencapaian penyanyi itu meskipun tidak berjaya menduduki kedudukan lebih tinggi.

“Aina sudah buat yang terbaik. Kita tahu vokalnya sangat hebat malam itu. Kita sebagai rakyat Malaysia, jangan marah-marah.

“Saya faham, hati itu memang terkilan. Tetapi ini adalah satu pembukaan jalan untuk mata dunia memandang kepada kita.

“Penyanyi negara kita juga boleh lakukan dan kita ada penyanyi yang bagus,” katanya.

Ziana tidak menafikan setiap penonton mempunyai peserta pilihan masing-masing dan berhak memberikan pandangan terhadap keputusan pertandingan.

Bagaimanapun, katanya, setiap individu mempunyai alasan tersendiri dalam memilih penyanyi kegemaran, manakala keputusan akhir tetap terletak di tangan pihak penganjur.

“Kita sebagai penonton mestilah ada peserta pilihan. Setiap orang ada alasan kenapa dia memilih seseorang peserta itu.

“Tetapi pada akhirnya, hanya pihak Eurovision yang tahu apa mereka mahukan. Kita kena akur, tetapi yang penting kita tahu penyanyi kita bagus.

“Ini semua rezeki. Bagi saya, tidak kisah menang atau kalah. Saya selalu ingat pesanan arwah abah, katanya kedudukan itu tidak penting. Kalau dapat, itu rezeki. Yang penting persembahan,” katanya.

Mengulas pandangan maestro muzik, Datuk M Nasir mengenai kepentingan memahami kehendak sesebuah pertandingan sebelum menyertainya, Ziana bersetuju penyanyi perlu mengenal pasti corak muzik serta persembahan yang menjadi pilihan penganjur.

Katanya, landskap muzik dan cita rasa pendengar sudah banyak berubah berbanding era 1990-an ketika beliau mewakili negara ke pertandingan Voice Of Khazakstan.

Menurutnya, ketika itu penyanyi bebas membawakan pelbagai genre termasuk balada dan masih berpeluang mendapat tempat dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, pertandingan muzik antarabangsa seperti Eurovision kini lebih cenderung mengetengahkan persembahan yang menggabungkan keupayaan vokal dengan kemahiran menari.

“Zaman saya, pada era 1990-an, apa-apa genre muzik pun kita boleh nyanyikan. Sama ada balada atau genre lain, semuanya boleh diterima ramai.

“Tetapi sekarang era sudah baharu, cara pun sudah baharu dan kehendak mereka juga berbeza. Apabila kita melihat Eurovision, banyak tumpuan diberikan kepada penyanyi yang boleh menyanyi dan menari.

“Kita dari Malaysia pula memang kuat dengan lagu balada. Kita tahu kekuatan lagu balada itu, tetapi apabila ke sana, keadaannya berbeza. Jadi, kita perlu tahu apa yang mereka mahukan,” katanya.

Bagaimanapun, Ziana menegaskan pandangan itu bukan bermaksud Aina gagal memberikan persembahan terbaik, sebaliknya setiap pertandingan mempunyai kriteria penilaian dan kehendak tersendiri yang hanya diketahui pihak penganjur.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Hafizuddin Roslin Ditidurkan, Jalani Rawatan Intensif Selepas Kemalangan

0
KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, kini ditidurkan bagi membolehkan pihak perubatan meneruskan rawatan intensif susulan kecederaan serius yang dialaminya...

CATEGORIES