Kuala Lumpur, 14 November 2026 – Kementerian Digital terus memperkukuh agenda pembudayaan digital di peringkat akar umbi menerusi penganjuran Program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Edisi Lembah Klang yang diadakan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.
Penganjuran MDKD2026 merupakan manifestasi komitmen Kementerian Digital dalam merakyatkan agenda pendigitalan negara, sekali gus memperkukuh literasi digital serta memupuk kesedaran penggunaan teknologi secara berkesan, selamat dan bertanggungjawab. Khusus bagi edisi Lembah Klang, pengisian program memfokuskan kepada empat (4) teras utama iaitu pendedahan Kecerdasan Buatan (AI), kepercayaan digital, kesejahteraan siber serta perluasan akses kepada perkhidmatan digital kerajaan.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBhg. Datuk Fabian Bigar. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa agenda pendigitalan negara hanya akan bermakna sekiranya manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. Justeru, penganjuran Minggu Digital menjadi wadah untuk membawa inisiatif, perkhidmatan serta pengetahuan digital terus kepada masyarakat tanpa menunggu mereka hadir mencarinya. Beliau turut menambah bahawa pendedahan kepada Kecerdasan Buatan (AI) dan amalan keselamatan digital yang betul merupakan asas penting bagi membolehkan komuniti memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup serta meneroka peluang ekonomi.

FOKUS UTAMA MDKD2026 EDISI LEMBAH KLANG
Program ini menawarkan pelbagai pengisian interaktif dan perkongsian ilmu yang dirangka khusus bagi memperkasa masyarakat mendepani arus teknologi digital, merangkumi empat (4) komponen utama:
- Pengenalan kepada AI dan AI Generatif: Sesi perkongsian selama dua jam yang memberikan pendedahan kepada masyarakat umum mengenai asas, fungsi dan aplikasi AI serta teknologi AI generatif dalam kehidupan seharian oleh rakan strategik komuniti, Perusahaan Sosial Pepper Labs Sdn. Bhd.
- Ceramah Kesedaran Penipuan Digital: Sesi bersama penceramah jemputan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang memfokuskan kepada pengenalpastian taktik terkini penipuan dalam talian serta langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa jenayah kewangan.
- Keibubapaan Pintar di Era Digital: Sesi perkongsian mengenai peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi dan persekitaran digital secara selamat serta seimbang oleh Pepper Labs Sdn. Bhd.
- AI Bertanggungjawab untuk Komuniti: Sesi pendedahan mengenai kepentingan penggunaan AI secara beretika, selamat dan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan masyarakat oleh CelcomDigi.
Selain itu, program ini turut menampilkan Sesi Taklimat Inisiatif Rakyat Digital oleh MyDigital Corporation bagi memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai inisiatif berkaitan pendigitalan serta kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
PAMERAN, DEMONSTRASI DAN PERKHIDMATAN DIGITAL
Program ini turut menghimpunkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik dan penyedia teknologi melalui reruai pameran, demonstrasi serta khidmat penerangan bagi mendekatkan perkhidmatan dan inisiatif digital kepada masyarakat.
Antara agensi dan organisasi yang terlibat ialah Jabatan Digital Negara (JDN), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), CyberSecurity Malaysia (CSM), MyDIGITAL Corporation, Digital Nasional Berhad (DNB), GovTech Malaysia, AI Malaysia Berhad, MyDIGITAL ID Sdn. Bhd., Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pepper Labs, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Tutur Technologies PLT, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), CelcomDigi, PEOPLElogy, CIMB dan Klinik Putrimedik.

Penyertaan ini merangkumi pelbagai pengisian, antaranya pendedahan kepada kemudahan perkhidmatan kerajaan digital melalui Portal MyGovernment dan Aplikasi MyGOV Malaysia, perlindungan data peribadi, kepercayaan digital, teknologi 5G, identiti digital serta aplikasi AI dalam pembelajaran dan urusan harian.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai inisiatif pendigitalan perniagaan, program pembangunan kemahiran AI, pendidikan kewangan dan pengurusan kredit, perkhidmatan kebajikan masyarakat serta penyelesaian digital berasaskan AI untuk menyokong perkembangan komunikasi kanak-kanak. Turut disediakan ialah khidmat penerangan berkaitan kesihatan wanita dan keluarga serta promosi pelan telekomunikasi.

Penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkaitan ini menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan, khidmat nasihat dan bimbingan secara terus, di samping meneroka pelbagai inisiatif serta penyelesaian teknologi digital yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
AKTIVITI KOMUNITI DAN PENYERTAAN MASYARAKAT
Selain pengisian berkaitan teknologi dan literasi digital, MDKD2026 Edisi Lembah Klang turut menyediakan aktiviti yang menggalakkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk:
- Program Jualan RAHMAH MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menyediakan peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan;
- Pertandingan Mewarna bertemakan “Dunia AI dan Masa Depan Digital” bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun; dan
- Cabutan bertuah serta aktiviti interaktif sepanjang program, diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mewarna.
Pendekatan ini menjadikan MDKD2026 Edisi Lembah Klang sebagai platform interaksi komuniti yang bukan sahaja memberikan pendedahan kepada perkembangan teknologi, malah menggalakkan penyertaan keluarga dan generasi muda dalam memahami persekitaran digital.

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Digital komited untuk terus memperluas akses kepada pengetahuan dan kemahiran digital melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat. Usaha ini penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, malah mempunyai kefahaman dan keyakinan untuk memanfaatkannya secara selamat, beretika dan bertanggungjawab dalam menyokong aspirasi Malaysia menuju ke arah Negara AI 2030 seiring dengan perkembangan ekosistem digital negara.





