PUTRAJAYA, 13 November 2026 — Peningkatan kedudukan Malaysia dari tangga ke-34 ke tangga ke-27 dalam Kedudukan Digital dan AI Dunia IMD 2026 merupakan satu pencapaian yang signifikan serta pengiktirafan yang memberangsangkan terhadap kemajuan negara kita dalam transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif Kerajaan, pihak industri, ahli akademik dan seluruh rakyat Malaysia dalam membudayakan teknologi digital serta memperkukuh keupayaan negara. Ia turut membuktikan kesediaan negara kita yang semakin meningkat untuk bersaing dalam ekonomi digital dan AI global seiring dengan usaha mengejar aspirasi menjadi sebuah negara AI yang inklusif dan mampan menjelang tahun 2030. Penarafan baharu ini juga memperkukuh keyakinan kita terhadap hala tuju strategik yang telah digariskan di bawah Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.
Seiring dengan persaingan global yang semakin sengit, keutamaan kita adalah untuk memastikan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang ini diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas, perusahaan tempatan yang lebih berdaya saing, serta manfaat nyata buat seluruh rakyat.
Bagi mencapai matlamat ini, kita akan memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama:
Memaksimumkan nilai ekonomi daripada pelaburan infrastruktur digital dan AI negara.
- Kita mahu membangunkan industri, teknologi dan perniagaan di sekeliling serta berasaskan pelaburan ini, sekali gus membolehkan lebih banyak syarikat, penyelidik dan pembangun tempatan mengakses teknologi AI, mempercepat inovasi serta menghasilkan produk dan perkhidmatan Buatan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global.
Mempercepat penerimagunaan digital dan AI yang bermakna merentasi seluruh sektor ekonomi.
- Kita akan menyokong sektor perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dalam mengguna pakai teknologi yang dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan mencipta peluang pertumbuhan baharu. Kita juga akan memajukan transformasi digital kerajaan bagi menyampaikan perkhidmatan awam yang lebih cekap, mudah diakses dan responsif.
Memperkukuh keupayaan bakat dan inovasi Malaysia.
- Peningkatan kedudukan kita dalam pembangunan tenaga kerja amat memberangsangkan, dan kita berhasrat untuk memanfaatkan kelebihan ini dengan melahirkan lebih ramai jurutera, penyelidik, pembangun dan usahawan AI. Pada masa yang sama, kita akan mempergiat usaha peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) tenaga kerja, bagi melengkapkan rakyat Malaysia merentasi pelbagai industri dan perniagaan tanpa mengira saiz dengan keupayaan digital dan AI yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti, menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang kian berubah, serta merebut peluang baharu dalam ekonomi AI.
Memperkukuh kepercayaan digital, tadbir urus dan penyelarasan kawal selia.
- Ekonomi digital dan AI yang berdaya saing memerlukan persekitaran yang dipercayai serta mesra inovasi. Kementerian Digital sedang giat memajukan penggubalan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI bagi memberikan kejelasan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam pembangunan serta pelaksanaan AI. Kita juga sedang berusaha ke arah penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia di bawah AI Malaysia untuk memperkukuh keupayaan negara dalam penilaian keselamatan AI, penilaian risiko, penyelidikan dan pembangunan piawaian. Seiring dengan inisiatif ini, kita akan terus memperkukuh tadbir urus data, keselamatan siber dan penyelarasan kawal selia bagi menggalakkan inovasi, mengekalkan keyakinan pelabur serta melindungi kepentingan rakyat Malaysia.
Penarafan terbaharu IMD ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan digital negara. Namun, kita sedar bahawa usaha dan kerjasama yang berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum sedia ada.
Oleh yang demikian, kita akan membina kekuatan berasaskan pencapaian ini untuk merealisasikan aspirasi menjadi sebuah Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang tahun 2030 — sebuah negara yang bukan sahaja mengguna pakai teknologi, tetapi turut membangunkan keupayaan, inovasi dan perniagaan yang bakal mencorakkan ekonomi masa hadapan kita.
GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL





