Wednesday, November 11, 2026
HomeHIBURANSyida Melvin Dakwa Bekas Suami Halang Pulang Ke Rumah Kelamin

Syida Melvin Dakwa Bekas Suami Halang Pulang Ke Rumah Kelamin

KUALA LUMPUR – Selepas lapan bulan menumpang di rumah keluarga, isu kediaman masih belum menemui penyelesaian.

Itu antara kemelut yang didakwa masih membelenggu usahawan, Syida Melvin selepas bercerai dengan bekas suami, Mohamad Syafiq Azim Shaheen.

Lebih mengecewakan, Syida mendakwa berdepan kesukaran untuk kembali ke rumah kelamin mereka bersama tiga anak, susulan bekas suami dikatakan enggan memberikan kerjasama bagi membolehkannya menduduki semula kediaman berkenaan.

Menerusi video siaran langsung yang tular di media sosial, Syida meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa hasratnya untuk kembali ke rumah itu tidak mendapat kerjasama, sedangkan dia mahu memastikan kebajikan dan persekolahan anak-anak lebih terjamin.

Syida berkata, dia bersama anak-anak meninggalkan kediaman berkenaan sejak April lalu bagi melindungi kesihatan mental dan fizikal mereka susulan dakwaan berdepan penderaan emosi sepanjang tinggal bersama bekas suami.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga di kampung, manakala anak-anak tidak dapat mengikuti persekolahan seperti biasa dan hanya mendapatkan bimbingan menerusi tutor peribadi.

“Sudah lapan bulan saya dengan anak-anak keluar. Saya keluar sebab nak lindungi mental dan fizikal saya serta anak-anak.

“Saya keluar daripada rumah itu sebab tidak tahan dengan penderaan emosi, dicaci maki dan dihina.

“Anak-anak nak sekolah, saya dah tak ada tempat. Saya menumpang rumah Kak Long, empat bulan saya duduk kampung. Baju dan mainan anak-anak pula ada yang di sana dan ada yang di sini,” luahnya.

Syida mendakwa, keputusan meninggalkan rumah itu dibuat selepas tidak tahan berdepan penghinaan dan cacian, selain mendakwa bekas suami pernah menuduhnya melakukan perkara yang tidak dilakukannya.

“Saya berdiam diri selama ini kerana tak tahan dihina dan dicaci maki. Dia kata saya orang miskin, dia pula terpaling kaya. Ibu bapa saya tak ada rumah dan terpaksa menumpang di rumah orang lain.

“Dia mencederakan diri sendiri, kemudian tuduh saya lakukan. Dia pecahkan meja di rumah, kemudian tuduh saya yang buat. Sebab itulah saya keluar dari rumah,” katanya.

Bagaimanapun, selepas tamat tempoh idah dan perceraian disahkan, Syida berkata, dia mahu kembali menetap di kediaman berkenaan demi kestabilan kehidupan anak-anak, terutama membabitkan urusan persekolahan.

Menegaskan tidak pernah mendakwa rumah itu miliknya secara mutlak, Syida sebaliknya berharap bekas suami dapat memberikan ruang untuk dia dan anak-anak kembali tinggal di situ.

Katanya, peguam yang mewakilinya sudah beberapa kali menghantar surat kepada bekas suami sejak Ogos lalu bagi memaklumkan hasrat berkenaan, namun mendakwa usaha itu tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

Malah, Syida mendakwa bekas suami menukar semua kunci rumah pada 21 Ogos lalu selepas mengetahui hasratnya untuk kembali ke kediaman itu pada 30 Ogos.

“Peguam saya sudah hantar empat atau lima surat, tetapi dia buat tidak tahu. Dia cakap mahu perkara itu diselesaikan melalui perintah mahkamah, sedangkan proses itu mengambil masa enam hingga lapan bulan.

“Anak-anak nak sekolah. Susah saya nak terus menumpang rumah orang. Saya bukan cakap rumah itu 100 peratus milik saya, tetapi berilah ruang untuk saya dan anak-anak,” katanya.

Syida menjelaskan, pendedahan itu bukan bertujuan meraih perhatian, sebaliknya dibuat selepas buntu memikirkan tempat tinggal serta masa depan persekolahan anak-anak.

Dalam perkembangan sama, Syida berkata, dia turut mendapatkan khidmat pembersihan bagi mengemas kediaman berkenaan yang didakwa berada dalam keadaan kotor sebagai persediaan untuk kembali menetap di situ.

Bagaimanapun, dia mendakwa tindakan bekas suami ketika melakukan siaran langsung petang tadi menambahkan lagi rasa terkilan terhadap kemelut yang dihadapinya.

Untuk rekod, Syida mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Syafiq Azim pada 19 Januari 2019. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.

Pasangan itu disahkan bercerai talak satu pada 12 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam selepas Syida memfailkan permohonan perceraian pada Disember 2025.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Shirakawa-go, Desa Jepun Yang Terkenal Dengan Rumah Beratapkan Jerami

0
GIFU, JEPUN – Terletak di kawasan pergunungan Prefektur Gifu, Jepun, Shirakawa-go merupakan sebuah perkampungan tradisional yang terkenal dengan deretan rumah beratapkan jerami berbentuk curam...

CATEGORIES